KUALA LUMPUR – Pendedah maklumat atau ‘whistleblower’ akan diberi bukan sahaja perlindungan, tetapi insentif supaya mereka dapat jaminan pendapatan yang lebih baik.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rencana itu terkandung dalam Rang Undang-Undang (RUU) yang akan dibentangkan kelak.
“Whistleblower Act, RUU Kebebasan Maklumat (FOI) dan Rang Undang-Undang Ombudsman sedang dirangka oleh menteri yang dipertanggungjawabkan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan asal Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai status terkini pelaksanaan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028.
Anwar berkata, cadangan lain dalam RUU berkenaan termasuk berkenaan badan-badan yang menyertai program anti-rasuah
secara berkesan dan agresif.
Menurut beliau, badan-badan terbabit akan dipertimbangkan diberi pemotongan cukai dan kaedah itu lebih selamat berbanding menghadapi isu kehilangan dan ketirisan.
“Kadar elaun saksi yang sedia memberi kerjasama setakat ini nampak ada kejayaan-kejayaan bermakna.
“Kejayaan bukan sahaja Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tetapi semua badan-badan penguatkuasaan.
“Daripada sudut rangka besar anti-rasuah dengan ketirisan, penyeludupan, kartel itu kita berjaya kumpul RM15.5 bilion untuk kantong negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE














