fbpx
Dari kiri: Abu Bakar Ellah, Francis, Ruji dan Henry antara personaliti popular yang mewarnai PRN Sabah.

Personaliti popular warnai PRN Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini bukan sekadar memperlihatkan pertembungan politik antara parti-parti besar, malah turut diserikan dengan kemunculan beberapa figura yang popular dalam lapangan masing-masing.

Antara yang mencuri tum­puan adalah pencalonan bekas pemain bola sepak negeri, selebriti tempatan terkenal, persona­liti televisyen dan bekas pegawai tinggi kerajaan.

Henry Saimpon yang pernah menyarung jersi Sabah pada era tahun 1990an selain menjadi Pengurus Pasukan Bola Sepak Negeri akan membuat penampilan sulung di pentas pilihan raya kali ini.

Naib Presiden KDM itu dicalonkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu dalam pertembungan lapan penjuru termasuk melibatkan penyandang, Datuk Joniston Bangkuai dari GRS.

Seorang lagi bekas bintang bola sepak Sabah, Jekerison Kilanakan bertanding di DUN ­Nabawan, juga mewakili KDM.

Turut mencuri tumpuan kali ini ialah penampilan semula penyanyi dan pelakon terkenal Sabah, Abu Bakar Ellah yang turut diumumkan sebagai calon KDM.

Abu Bakar, 63, yang dikenali dengan panggilan ‘Ampal’ akan bertanding di DUN Kuamut. Untuk rekod, Abu Bakar yang popular dengan lagu Orang Kita pernah bertanding di DUN tersebut pada 2004 dengan menggunakan tiket bebas.

Dalam pada itu, personaliti televisyen yang juga bekas pe­nyampai TV Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sabah, Francis Fahir turut memeriahkan pentas PRN Sabah kali ini.

Francis diumumkan untuk mewakili STAR bagi kerusi Pantai Dalit dan akan berdepan persaingan tiga penjuru termasuk pe­nyandang kerusi dari GRS, Datuk Jasnih Daya.

Persaingan di DUN Merotai juga panas apabila calon ‘heavyweight’ PKR, Datuk Ruji Ubi dicalonkan bertanding bagi merampas kerusi berkenaan dari­pada Warisan.

Bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu akan berdepan saingan empat penjuru dan akan dicabar penyandang, Sarifuddin Hata (Warisan) selain Hasan Haris (Perikatan Nasional).

Seramai 595 calon daripada 24 buah parti politik disahkan bertanding merebut 73 kerusi DUN pada PRN17 Sabah.

PRN Sabah merekodkan sebanyak 1,784,843 pengundi layak memilih dengan 1,760,417 pengundi biasa dan 11,967 anggota tentera beserta pasangan, manakala 12,729 anggota polis dan pasangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN