GEORGE TOWN – Seorang pemuda merayu orang ramai supaya berhenti menyebarkan gambar MyKad atau kad pengenalan miliknya kerana dia bukan mangsa yang hilang selepas terjatuh Jambatan Pulau Pinang di sini malam tadi.
Sebaliknya, menerusi video berdurasi satu minit itu, lelaki dikenali Mohammad Aidil Hakim berkata, dia hanya saksi dalam kejadian tersebut yang berlaku pada pukul 6.56 petang semalam.
“Ini video klarifikasi (penjelasan) untuk isu yang tengah viral (tular) malam ini (malam tadi), kes terjun Jambatan Pulau Pinang. IC (MyKad) yang dikongsi di grup-grup itu gambar IC saya. Saya ialah saksi kejadian, bukannya saya yang terjun.
“Saya punya IC diambil gambar oleh dua pihak iaitu polis dan bomba. Saya tidak tuduh mana-mana (pihak) yang bocor, saya cuma minta kepada sesiapa yang dapat gambar IC saya supaya padam segera dan kepada grup-grup yang masih kongsi, padam segera.
“Kalau masih lagi simpan atau saya dapat perkongsian, minta maaf saya terpaksa memasukkan nombor anda dalam laporan polis saya,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang pemuda dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh Jambatan Pulau Pinang menghala ke Perai. Lelaki itu meninggalkan bungkusan plastik berisi pakaian, telefon bimbit dan motosikal Yamaha Y16 di tepi tembok jambatan tersebut.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa sedang giat dijalankan pagi ini melibatkan pasukan penyelamat daripada bomba Pulau Pinang, Maritim Malaysia dan Polis Marin. – KOSMO! ONLINE















