fbpx
DARWISYA mengakui ada pelanggan wanita mahu dia menjadi peneman ketika mendobi serta membeli-belah di pasar raya.

Khidmat peneman wanita, caj bermula RM15

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Rasa takut, cemas dan tidak selesa untuk keluar bersendirian dalam kala­ngan wanita memberi idea baharu kepada seorang penuntut universiti untuk mengambil inisiatif berani dengan memperkenalkan perkhidmatan khusus kepada golongan hawa.

Pelajar tersebut, Darwisyah Adeebah Shahron Nizam, 22, berkata, dia telah memulakan Servis Pemandu dan Pembantu Wanita sejak sebulan lalu khusus untuk memberi perkhidmatan pengangkutan dan bantuan kepada kaum wanita.

Biarpun konsep tersebut masih baharu di Malaysia, Darwisyah mengakui idea tersebut sesuai untuk dipraktikkan dan mendapat permintaan baik.

“Servis ini sebenarnya sudah lama ada, tetapi lebih terkenal di luar negara. Di Malaysia masih baharu lagi dan ramai yang tidak tahu.

“Jadi, saya perkenalkan servis ini untuk bantu golongan wanita yang mahu beraktiviti dengan le­bih selamat dan tenang,” katanya kepada Kosmo!.

Pelajar jurusan sumber manusia dari Universiti Selangor (Unisel) itu berkata, perkhidmatan yang disediakan bukan sahaja melibatkan aspek pengangkutan, malah ada juga pelanggan yang sekadar ingin ditemani berjalan dan mendengar luahan mereka.

Bagaimanapun katanya, setiap permintaan sedemikian perlu disertakan tapisan dan maklumat terperinci demi melindungi diri sendiri dan pelanggan.

“Ada juga yang hanya mahu jadi teman berjalan-jalan. Kebanyakannya berumur antara 20 hingga 30 tahun. Permintaan macam ini memang saya terima, cuma saya akan ambil langkah berhati-hati sebab ia berkaitan keselamatan,” katanya.

Menurutnya, idea memperkenalkan servis tersebut muncul selepas mengetahui ramai wanita di luar sana yang kurang selesa atau takut menggunakan perkhid­matan pengangkutan biasa terutama yang pernah diganggu pemandu lelaki.

“Ramai wanita takut untuk keluar bersendirian atau naik dengan pemandu lain jantina. Mereka lebih selesa dan selamat jika ditemani oleh pemandu wa­nita,” katanya.

Tambahnya, setiap perkhidmatan yang ditawarkan menitikberatkan aspek keselamatan dan privasi pelanggan.

“Ada bermacam perkhidmatan yang saya buat, sebagai contoh menyediakan pengangkutan harian pergi dan balik kerja, menghantar anak ke sekolah, menemani ke dobi sehingga ada juga warga emas yang mahu ditemani ke klinik atau hospital untuk pemeriksaan kesihatan.

“Asalkan tugasan tidak melanggar apa-apa isu dan kepercayaan pelanggan, saya sedia berkhidmat untuk mereka.

“Lagipun, semua maklumat dirahsiakan dan komunikasi di­buat dengan jelas sebelum perkhidmatan bermula,” tambah Darwisyah.

Menurutnya, harga bagi kadar servis bermula daripada RM15 sejam tidak termasuk pengangkutan bergantung kepada lokasi dan jenis tugasan yang diminta pelanggan.

Tambahnya, dia berharap servis ini dapat dipertimbangkan dan diluaskan lebih lagi dalam memberi peluang pekerjaan dan keselamatan kepada lebih ramai wanita.

“Disebabkan saya seorang pelajar, selalunya saya akan buat pekerjaan mengikut waktu kelas.

“Biasanya, pelanggan akan mesej di WhatsApp atau Threads dan saya akan pilih sama ada teruskan atau tidak mengikut kesesuaian waktu.

“Ramai pelanggan memberikan maklum balas baik dan syorkan servis ini kepada kenalan mereka. Jadi memang nampak­lah perkhidmatan begini memang diperlukan dan dihargai sebenarnya,” katanya.

Darwisyah berkata, setakat ini perkhidmatannya tidak tertakluk kepada satu-satu kawasan dan semuanya bergantung kepada pilihan pelanggan sendiri.

“Saya boleh berkhidmat di luar Lembah Klang asalkan pelanggan sendiri setuju dengan harga yang dikenakan.

“Ada juga yang minta untuk pergi ke negeri lain tetapi bergantung kepada tempat dan masa,” tambahnya.

Bagi Darwisyah, masalah penipuan bayaran atau tugasan bukan menjadi punca, tetapi ada juga beberapa pelanggan yang merungut dengan harga yang ditetapkan.

“Saya harap servis ini dapat berkembang dan lebih sistematik sebab ia boleh beri peluang pekerjaan kepada lebih ramai wanita.

“Selain itu, ia juga penting kepada mereka yang mungkin risau dan pentingkan faktor keselamatan,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN