fbpx
ANTARA kebimbangan utama berkait AI ialah kemungkinan penggantian tenaga manusia oleh automasi dan sistem pintar. - GAMBAR HIASAN

Manusia terancam, AI ambil alih kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KESELAMATAN pekerjaan pada era kecerdasan buatan (AI) menjadi topik yang semakin penting masuk tahun 2026 apabila teknologi ini semakin meluas digunakan dalam pelbagai sektor industri.

Antara kebimbangan utama ialah kemungkinan penggantian tenaga manusia oleh automasi dan sistem pintar, terutamanya tugasan rutin serta berulang yang semakin mudah diambil alih oleh mesin.

Laporan Masa Depan Pekerjaan 2025 oleh Forum Ekonomi Dunia menjangka 92 juta pekerjaan di seluruh dunia, termasuk Malaysia akan terjejas menjelang 2030 disebabkan oleh penstrukturan semula hasil automasi dan kemajuan teknologi AI.

Microsoft tahun lalu menyenaraikan 40 pekerjaan teratas dengan skor kebolehgunaan AI tertinggi, dengan jurubahasa dan penterjemah menduduki ranking tertinggi.

AI juga membuka peluang pekerjaan baharu, misalnya bidang seperti sains data, kejuruteraan AI, keselamatan siber dan pengurusan teknologi.

Dalam konteks ini, keselamatan pekerjaan tidak lagi bersandarkan semata-mata kepada jawatan sedia ada, tetapi keupayaan individu itu sendiri untuk menyesuaikan diri dan terus belajar perkara baharu sepanjang hayat.

Pengasas dan Pengarah Williams Business Consultancy Sdn. Bhd., Prof. Dr. Geoffrey Williams dalam sesi perbincangan bertajuk AI : Masa Depan Rakyat Malaysia – Implikasi Sosial & Jaringan

Keselamatan pada acara Malaysia Corporate Day baru-baru ini berkata, dunia telah menempuhi beberapa revolusi industri yang dikatakan bakal menghapuskan pekerjaan dan ternyata pandangan itu salah.

Mengambil contoh tugasan seorang akauntan, beliau menjelaskan ketika teknologi menghapuskan keperluan untuk menyimpan resit, ia tidak menghapuskan keperluan untuk input manusia.

“Sudah tentu akan ada pekerjaan yang bakal ditukar oleh AI, penjaga tempat letak kereta misalnya. Namun, kita sememangnya tidak mahu pekerjaan rutin seperti ini dibuat oleh manusia, kita mahu pekerja memberikan nilai tambah serta melakukan tugasan yang lebih produktif.

“AI akan mengubah tugasan yang perlu dilakukan dan bukannya pekerjaan.

“Dalam mana-mana ekonomi sekalipun terdapat banyak pekerjaan kalis teknologi seperi sektor perhotelan. Tetamu sudah tentu inginkan layanan mesra yang mampu diberikan oleh manusia dan pekerjaan ini akan wujud.

“Begitu juga dalam sektor kesenian seperti pembuatan filem, iaitu industri yang menjana pulangan berbilion ringgit,” katanya.

Pengarah Eksekutif Malaysian Biotechnology Information Centre, Dr. Mahaletchumy Arujanan berkata, persoalan yang sering ditimbulkan ialah bidang pengajian apa yang perlu diberi fokus jika pelajar mahu melanjutkan pengajian.

Ramai mahukan sesuatu yang bersifat kalis teknologi dan berdaya tahan untuk puluhan tahun mendatang.

“Berbanding meneka dan cuba meramalkan masa depan, nasihat saya ialah pilih bidang yang kita minat.

“Sekiranya kita benar-benar mencintai sesuatu kita akan mampu terus meneroka, belajar dan seterusnya membentuk peluang baharu daripadanya,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN