Saudara Pengarang,
Banyak sangat kisah mengenai kematian akibat lemas sama ada ketika mandi di sungai, kolam ataupun pantai setiap kali tiba musim tengkujuh.
Malah, musim hujan yang berlaku ketika ini masih dianggap biasa bagi sesetengah individu tanpa memikirkan soal risiko dan keselamatan diri serta keluarga.
Setiap kali hujan lebat, paras air akan naik secara mendadak, arus menjadi deras dan dasar sungai berubah tanpa diduga.
Inilah punca berlakunya kekerapan kes lemas berulang, seolah-olah kita tidak pernah belajar daripada kehilangan orang lain.
Sebagai pembaca dan warga yang prihatin, saya ingin mengingatkan semua ibu bapa bahawa keselamatan anak-anak bukan sesuatu yang boleh dikompromi.
Mereka mungkin tidak faham bahaya arus bawah, pusaran air atau fenomena kepala air yang datang secara tiba-tiba.
Bagi mereka, sungai hanya tempat untuk berseronok, tetapi sebagai orang dewasa, kita sepatutnya lebih tahu bahawa keseronokan sesaat boleh bertukar menjadi penyesalan sepanjang hayat.
Perlu diingat, kebanyakan kejadian lemas berlaku bukan kerana anak degil, tetapi kerana kita terlalu percaya bahawa kawasan itu ‘selamat seperti biasa’.
Jurulatih Renang
Kuala Lumpur














