fbpx
Muhammad Izmer menunjukkan set talam berharga RM99 di Dusun Mek Yan, Kampung Bikam, Sungkai, Tanjung Malim semalam.

Bayar RM99 dapat set talam musang king

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TANJUNG MALIM – Seorang pengurus ladang durian mengambil inisiatif berkongsi rezeki dengan golongan B40 dan berpendapatan sederhana apabila menawarkan set talam durian musang king Sungkai pada harga hanya RM99.

Setiap set talam marhaen membolehkan pelanggan menikmati tiga biji durian musang king de­ngan berat 1.5 hingga 2 kilogram (kg) sebiji, tiga mangkuk bubur durian, tiga botol air mineral, lima keping roti dan air minuman se­perti teh o ais percuma.

Muhammad Izmer Radzali, 37, yang mempunyai ladang seluas 16.18 hektar di sekitar Batang Padang di sini berkata, dia telah lebih 16 tahun berpengalaman mengeksport durian musang king gred A untuk pasaran China, Taiwan dan Singapura.

“Namun kali ini saya mahu semua golongan termasuk B40 dan keluarga berpendapatan sederhana dapat menikmati durian musang king bertaraf premium, tetapi harga mampu beli, bukan mampu tengok sahaja,” katanya kepada Kosmo! di Dusun Mek Yan, Kampung Bikam, Sungkai di sini semalam.

Menurutnya, durian musang king mempunyai rasa yang cukup lemak, manis, berisi tebal dan saiz biji kecil, kurang bergas dan warnanya kuning pekat yang mampu membuatkan sesiapa sahaja kecur liur.

Katanya, durian musang king Sungkai dijual di Dusun Mek Yan setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad yang memerlukan pelanggan membuat tempahan terlebih dahulu.

“Ini bagi memastikan kami dapat mengatur tempahan dengan baik supaya tidak berlaku ke­sesakan supaya dapat menjaga kualiti perkhidmatan.

“Selain itu, bekalan stok durian sentiasa mencukupi selain tidak berlaku kesesakan kende­raan kenderaan pelanggan kerana saiz premis yang agak terhad,” katanya.

Ujarnya, setakat ini ramai pelanggan berpuas hati dapat menikmati durian bermutu tinggi untuk eksport dalam pasaran tempatan dengan harga yang berpatutan.

“Bekalan durian mencukupi hingga Februari tahun depan dan ada pokok-pokok yang ditanam akan mengeluarkan buah yang mampu menampung permintaan selepas itu.

“Asasnya, lebih menguntungkan jika durian ini dieksport sahaja, tetapi saya anak jati Sungkai berfikir biarlah ‘orang kita’ dapat merasa selain membuka peluang pekerjaan kepada orang kampung. Saya juga mengajar mereka cara berniaga dan menanam durian bagi menjana pendapatan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN