fbpx
Mohd. Na’im menegur pakaian Dolla yang dianggap terlalu seksi bagi ahli yang beragama Islam.

Aduhai Dolla, menteri tegur baru bertindak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KONTROVERSI ‘seragam’ seksi Dolla bukan perkara baharu. Dari awal kemunculan, penampilan ‘daring’ kumpulan wanita popular itu hangat diperdebatkan masyarakat.

Baik ketika beraksi di atas pentas mahupun dalam video muzik (MV) Dolla seakan-akan tidak makan saman apabila selesa menggayakan pakaian ‘tidak cukup kain’.

Terbaharu, kumpulan yang dianggotai Sabronzo, Tabby dan Angel itu sekali lagi mencetuskan kembimbangan ramai menerusi video muzik (MV) lagu Question yang disifatkan keterlaluan dan melampaui batas apatah lagi Sabronzo beragama Islam.

MV itu mengundang perang mulut antara netizen dan fanatik Dolla dalam kalangan pengguna media sosial. Suhu semakin panas apabila pendakwah bebas Ustazah Asma’ Harun tampil menegur apa yang dipertontonkan Dolla itu bukan lagi sebuah persembahan seni tetapi visual pertunjukan memalukan.

Isu itu tidak terhenti di situ apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar turut campur tangan dengan menggesa selebriti tempatan mematuhi garis panduan adab dan pemakaian mengikut tuntutan Islam selain menegaskan sedang meneliti untuk mengenakan tindakan jenayah syariah kepada selebriti beragama Islam yang berpakaian mencolok mata.

Apabila menteri sudah bersuara, menyusul kenyataan media dari syarikat rakaman Universal Music Malaysia sudah menurunkan MV Question dari semua platform digital sebagai Langkah bertanggungjawab dan menjaga sensitiviti masyarakat pelbagai kaum serta agama di negara ini.

Memetik kata-kata Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim, pihaknya mengambil serius semua maklum balas dan komited memastikan setiap perancangan kreatif selepas ini melalui proses semakan yang lebih ketat dan teliti, melibatkan perbincangan dalaman serta konsultasi profesional bagi mengelakkan perkara yang sama berulang.

Bagi penulis, perkara ini seharusnya dipandang serius pengurusan dan syarikat rakaman dari dulu lagi. Kalau artis luar negara boleh patuh dengan garis panduan dan etika berpakaian yang ditetapkan Kerajaan Malaysia ketika mengadakan persembahan di sini, mengapa artis kita menongkah arus?

Dolla tidak bergerak sendiri, mereka bernaung di bawah syarikat besar dan diuruskan kelompok profesional yang sudah arif dengan peraturan serta selok-belok industri hiburan tanah air. Mereka sewajarnya mendapat nasihat dan bimbingan yang betul bagi mengelakkan perkara sebegini berlaku. Bukan selepas ditegur pak menteri baru nak bertindak.

Diharap insiden ini menjadi iktibar buat Dolla dan penggiat seni lain agar lebih cakna dan peka dengan sensitiviti masyarakat dan budaya hidup Malaysia yang majoritinya beragama Islam.

Sebagai idola, artis sepatutnya menunjukkan contoh yang baik apatah lagi peminat mereka terdiri daripada ramai anak muda Melayu yang masih hijau dan tercari-cari arah hidup.

Dengan bakat besar yang dimiliki, berpakaian lebih sopan tidak akan mengehadkan Dolla atau mana-mana selebriti terbang tinggi sebaliknya mereka akan lebih dihormati.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN