SEREMBAN – Kegiatan sindiket pecah rumah yang menyasarkan kediaman mewah di sekitar daerah ini sejak Ogos lalu tumpas selepas polis berjaya menahan tiga suspek termasuk dua warga China baru-baru ini.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata, suspek pertama lelaki warga China berusia 37 tahun ditahan pada pukul 1.15 pagi, 8 November lalu ketika berada dalam sebuah Perodua Bezza di kawasan City Park Seremban 2 di sini dalam keadaan mencurigakan.
“Tangkapan dibuat selepas pihak polis menerima laporan kes pecah rumah di Taman Sri Carcosa, Seremban 2 di sini pada 13 Ogos lalu melibatkan kerugian barangan kemas dan juga beberapa jam tangan berjenama dengan kerugian dianggarkan RM35,000.
“Hasil pemeriksaan kereta yang dinaiki suspek, pasukan polis menjumpai beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk melakukan pecah rumah termasuk pemotong besi, pemutar skru, dua kuku kambing, pakaian, beg komputer riba dan dua telefon bimbit,” katanya selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Seremban antara Senior Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din dan Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahman di sini hari ini.
Jelas Alzafny, susulan penahanan suspek pertama, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban menahan dua lagi suspek masing-masing lelaki tempatan berusia 60 tahun dan wanita warga China berusia 64 tahun pukul 4 petang, Isnin lalu di sebuah kediaman di Jalan Pudu, Kuala Lumpur.
Tambah beliau, siasatan mendapati kumpulan sindiket itu turut aktif melakukan jenayah pecah rumah mewah di sekitar Selangor dan dengan penahanan kumpulan itu, polis berjaya menyelesaikan tujuh kes pecah rumah di Seremban dan tujuh kes di Selangor. – KOSMO! ONLINE














