MELAKA – Seorang buruh binaan warga Bangladesh maut selepas disambar petir ketika melakukan kerja-kerja di atas bumbung sebuah rumah di Taman Ayer Keroh Height, di sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 petang itu, mangsa lelaki yang berusia 20 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurut Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd. Hafidzatullah Rashid, panggilan kecemasan diterima pada pukul 2.42 petang dan sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera telah dikejarkan ke lokasi.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, kita dapati seorang lelaki berada di atas bumbung dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai akibat disambar petir.
“Anggota bomba kemudian melakukan kerja menyelamat untuk menurunkan mangsa dari bumbung dengan menggunakan peralatan keselamatan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambahnya, mangsa bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan yang turut berada di lokasi kejadian.
“Menurut penyelianya, ketika kejadian cuaca tidak hujan, namun tiba-tiba mangsa disambar petir.
“Kawasan tersebut merupakan taman perumahan baharu dan masih dalam pembinaan,” ujarnya.
Katanya, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 3.42 petang. – KOSMO! ONLINE














