fbpx
Kerapu menjadi target utama terutamanya ketika pertandingan mingguan.

Mengilat di Aquariq Fishing Paradise

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JIKA di kebanyakan kolam air masin lain hanya soft-plastic atau umpan hidup dibenarkan, Aquariq Fishing Paradise (Aquariq) berani menongkah arus dengan membenarkan penggunaan hard lure bermata tiga.

Peraturan di kolam ini jelas dan tegas. Penggunaan umpan hidup seperti anak ikan lampam, tilapia dan sebarang organ haiwan sebagai umpan adalah dilarang sama sekali. Selain peraturan yang disebutkan, segala teknik adalah dibenarkan.

Tujuannya untuk mengekalkan permainan ‘sportif’, teknikal dan adil, maknanya semua peman­cing berada di padang permainan yang sama.

Maka segala teknik mengilat termasuk penggunaan gewang bermata tiga, shallow crank, minnow hingga topwater dibenarkan selagi tidak menyalahi tahap keselamatan
kolam.

Spesies buruan
Walaupun tidak dihuni ikan bersaiz mega, namun spesies yang sedia ada bukan calang-calang kerana ia terkenal ganas dan agresif seperti siakap merah, siakap putih dan jenahak. Saiz ikan yang ada di kolam adalah di antara satu sehingga empat kilogram (kg).

Pemilihan ikan untuk diisi ke dalam kolam ini sangat penting kerana ia perlulah spesies yang responsif kepada gewang.

Pengunjung juga perlu memahami perangai ikan-ikan supaya dapat memilih gewang yang paling sesuai untuk digunakan kerana setiap spesies berlainan kehendaknya terhadap gewang.

Pendek kata, lebih kerap berkunjung ke satu-satu kolam, lebih cepat anda belajar karenah ikan-ikan di dalamnya.

Seperkara lagi, ada sudut-sudut di dalam kolam ikan lebih gemar berkampung, mungkin disebabkan kedalaman, ada struktur atau arus akibat pusaran dari kipas di dalam kolam.

Menumpukan balingan gewang pada lokasi-lokasi yang berpotensi dapat meningkatkan peluang sambaran.

Cabaran
Walaupun lokasi ini hanyalah kolam bayar, namun Aquariq tidak memberi laluan mudah.

Kedalaman kolam berbeza-beza dan arus yang berubah mengikut kitaran kipas menjadikan pembacaan air sangat penting. Ada masa ikan berlegar di permukaan air, ada masa ia bermain rapat di dasar.

Masa juga memainkan peranan penting, bukan setiap waktu ikan akan makan.

Saya lihat, waktu dari lewat petang sehingga malam sering menjadi pilihan ramai pemancing.

Jenahak saiz ini banyak menghuni kolam.

Ketika cahaya siang semakin malap, ikan-ikan pemangsa biasanya lebih aktif mencari makanan dan ketika itulah ia rakus menghentam gewang yang lalu di hadapannya.

Tempat berkumpul
Kolam ini juga tempat pertemuan komuniti pemancing yang pelbagai. Selain menjadi kolam memancing, Aquariq juga menjadi tempat pertukaran pendapat dan pengetahuan antara pemancing.

Di sini, kemudahan-kemudahan seperti surau dan tandas disediakan untuk keselesaan tetamu terutamanya yang membawa keluarga.

Kesungguhan Aquariq untuk mengangkat seni mengilat bukan hadir secara kebetulan.

Kolam ini dimiliki oleh Faizal Zainal atau lebih mesra dikenali sebagai Totet iaitu personaliti yang tidak asing lagi dalam dunia memancing Malaysia.

Dia merupakan pemegang rekod dunia International Game Fish Association (IGFA ) bagi spesies ikan toman.

Ini membuktikan kemampuan dan pengalaman luasnya dalam memburu ikan-ikan pemangsa.

Kesungguhannya dalam dunia memancing diterjemahkan terus ke Aquariq.

Operasi dan bayaran
Kolam ini beroperasi dari Selasa hingga Khamis bermula pukul 8 pagi hingga 2 pagi.

Sementara hari Jumaat pula pukul 4 petang hingga 3 pagi, manakala Sabtu dan Ahad dibuka dari pukul 8 pagi hingga 2 pagi.

Bagi bayaran pula, pakej empat jam adalah RM100, lima jam (RM110) dan tujuh jam (RM120) dengan deposit RM20 bagi setiap kemasukan.

Menariknya, terdapat promosi untuk pakej tujuh jam bermula pukul 7 malam hingga tutup waktu operasi kolam yang hanya berharga RM100 tanpa deposit.

Lebih lama, ada lebih peluang untuk merasa tarikan si ‘gangster’ dalam air.

Aquariq Fishing Paradise mengangkat martabat pengilat dalam dunia kolam air masin.

Di sini, pemancing bukan sekadar mengharap rezeki, tetapi mengasah bakat dan strategi.

Setiap sambaran ikan menjadi bukti kejayaan teknik yang dipilih, sementara yang rabut pula menjadi pengajaran untuk cuba lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN