fbpx
Jalan Bonus berhampiran Masjid India dibuka semula kepada orang ramai ketika tinjauan semula di lokasi insiden tanah mendap semalam. – Foto oleh SYAKIR RADIN

Peniaga resah, orang ramai takut jalan mendap lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Orang ramai terutama peniaga di Jalan Bonus berhampiran Masjid India di sini kembali resah susulan insiden mendapan kelmarin yang dikhuatiri boleh menjejaskan perniagaan mereka selepas kejadian pertama yang meragut seorang wanita warga India pada Ogos tahun lalu.

Seorang tukang jahit dikenali sebagai Izzat, 28, berkata, kejadian mendapan itu bukan kali pertama berlaku sepanjang 10 tahun dia bekerja di kawasan tersebut.

“Dalam 10 tahun sudah beberapa kali berlaku kejadian seperti ini, semalam (kelmarin) pun berlaku. Apabila laluan ditutup, perniagaan memang terjejas sebab ini merupakan satu-satu­nya jalan utama pelanggan untuk ke kedai,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Izzat mendakwa, kejadian mendapan itu dilaporkan kerap berlaku sejak jalan tersebut ditukar dengan jubin baharu.

Pekerja kedai jam dan kunci, Wei Chan, 52, pula berkata, biarpun laluan sudah dibuka semula petang kelmarin, dia mengakui masih bimbang akan keselamatan dirinya dan pengunjung.

“Lokasi ini kawasan tumpuan. Kalau boleh, kita tidak mahu kejadian ini berulang,” katanya.

Menurut pengurus kedai, P. Radeka, 24, selain mendapan, kawasan itu turut berdepan masalah banjir dan hakisan ta­nah.

Oleh itu, dia berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera selain menyiasat punca sebenar kejadian kerana melibatkan soal keselamatan orang awam.

Sementara itu, pekerja swasta, Aina Zulaikha, 32, berkata, dia kerap menggunakan laluan tersebut untuk ke kedai makan.

“Setiap kali lalu, saya akan berjalan cepat kerana bimbang tanah mendap,” katanya.

Asmawi Kahmis, 40, pula berkata, selain kejadian tanah mendap berdekatan Pondok Polis Masjid India, terdapat beberapa kawasan lain yang mula menunjukkan tanda seperti permukaan jalan tidak rata.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenya­taan malam kelmarin memaklumkan laluan di Jalan Bonus telah dibuka semula selepas kerja pembaikan disiapkan pada pukul 6 petang.

Siasatan awal mendapati kejadian berlaku secara setempat dipercayai berpunca akibat gangguan pada struktur turapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN