PETALING JAYA – Seorang wanita berkongsi pengalaman ketika melalui proses kelahiran anak pertama di sebuah hospital apabila bilik bersalinnya dipenuhi pelajar perubatan yang datang untuk membuat pemerhatian.
Menurut wanita itu, situasi tersebut berlaku ketika dirinya sedang menanggung kesakitan dan berada dalam keadaan tidak terurus dengan aurat terbuka, sebelum beberapa pelajar masuk secara berkumpulan dan berdiri mengelilingi katilnya.
Katanya, ada dalam kalangan pelajar itu sekadar melihat, bertanya soalan kepada doktor malah terdapat juga yang sibuk mencatat nota, sekali gus membuatkan dirinya berasa resah dan hilang fokus.
“Saya faham ini semua proses belajar. Tapi tolonglah, kami pun manusia. Kami pun ada rasa malu, lebih-lebih lagi bila aurat dah terbuka.
“Sampai saya terpaksa naikkan suara, ‘kenapa ramai sangat ni tengok saya bersalin?’” katanya menerusi satu perkongsian di Facebook.
Tambah wanita itu, suasana di dalam bilik tersebut dikatakan senyap seketika selepas dia membuat teguran dengan suara yang tinggi.
“Sebab itu bila anak kedua, saya pilih bersalin di swasta. Bukan sebab nak berlagak tapi sebab nak jaga maruah dan tenangkan hati sendiri masa melalui saat paling genting dalam hidup,” katanya,” katanya.
Sementara itu, di ruangan komen ada yang berkongsi pengalaman diperiksa oleh pelajar perubatan sehingga mengalami luka akibat pemeriksaan berulang kali.
“Sedih sangat, kadang kita yang sakit nak bersalin jadi tikus makmal pihak hospital. Mula-mula ada datang seluk, selang sejam orang lain pula, sampai luka dibuatnya. Ada yang nak cucuk jarum di tangan pun tak reti, bersembur darah keluar,” dakwa seorang pengguna . – KOSMO! ONLINE














