BUKIT JALIL – Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski lebih berminat untuk mencari ‘penawar’ kepada kegelisahan para peminat bola sepak Malaysia yang kini dipalit dengan isu pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan.
Sebagai individu bergelar jurulatih, Cklamovski menjelaskan skop tugasannya terhad kepada membariskan pasukan terbaik, menyediakan pelan tepat bagi memastikan keputusan positif tercapai.
Cklamovski tetap bercita-cita untuk menamatkan tahun ini dengan cerita lebih baik berbanding terlalu menumpukan kepada hukuman Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan.
“Kami tidak boleh kawal perkara lain selain daripada kerja di padang tetapi apa yang boleh kami lakukan adalah membuatkan rakyat Malaysia ‘bernyawa’ apabila setiap kali pasukan kebangsaan bermain.
“Semua perkara ‘bising’ dan spekulasi perlu ditapis kerana ia seperti tidak menghormati permainan bola sepak. Ia bukan masalah kerana saya fokus terhadap perkara yang boleh dikawal dan pastikan segalanya berjalan dengan baik.
“Saya hanya harap boleh membuatkan Malaysia bangga dengan cara kami bermain dan menamatkan 2025 tanpa kalah, mampu jaringkan gol serta tamatkan perlawanan tanpa bolos,” katanya.
Sebelum ini, FIFA mengekalkan hukuman denda CHF350,000 (RM1.8 juta) terhadap FAM selain penggantungan 12 bulan serta denda CHF2,000 (RM10,800) setiap seorang ke atas tujuh pemain terbabit atas kesalahan melanggar Artikel 22 Kod Disiplin FIFA berkaitan pemalsuan dokumen.
Tujuh pemain berkenaan ialah Gabriel Palmero, Facundo Garcas, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
“Saya mendapat inspirasi bekerja dengan mereka (pemain) setiap hari dan ia juga memberikan kepuasan sebagai jurulatih. Anda boleh lihat aura dalam kumpulan pemain, mentaliti yang hebat, disiplin, fokus dan tahap profesional mereka membuatkan saya bangga.
“Kami perlu melaksanakannya setiap hari, jangan ambil mudah kerana kami tetap kena bekerja keras membina bola sepak cara kami bagi berdepan lawan yang sukar,” katanya. – KOSMO! ONLINE














