PETALING JAYA – Polis mengesahkan menerima laporan daripada seorang wanita warga Russia berhubung penyebaran video di aplikasi TikTok yang memaparkan dirinya bersama kata-kata berbaur lucah.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, laporan tersebut dibuat di Balai Polis Dang Wangi semalam.
“Kes mengenai video di aplikasi TikTok yang memalukan pengadu dengan perkataan-perkataan lucah kini disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Siasatan masih dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang wanita warga Russia membuat laporan polis selepas tular rakaman video yang memaparkan dirinya ketika siaran langsung oleh seorang pempengaruh lelaki di sebuah restoran, baru-baru ini.
Menerusi hantaran di Threads, Alice Kasimova memaklumkan, tindakan itu diambil selepas menerima nasihat daripada orang sekeliling yang bimbang akan keselamatannya.
Tindakan pempengaruh lelaki tersebut yang membuat siaran langsung sambil bersembang lucah dengan pengikutnya mengenai seorang wanita yang duduk berhampiran tanpa kebenaran telah mencetuskan kemarahan orang ramai.
Difahamkan, wanita itu dirakam ketika sedang menjamu selera di sebuah premis, namun lokasi kejadian masih belum dikenal pasti. – KOSMO! ONLINE














