PETALING JAYA – “Semua berlaku begitu mudah… macam mimpi,” kata pempengaruh, Muka Gangster atau nama sebenarnya Muhammad Mikhael Sathayah, yang berkongsi detik penghijrahan ibunya memeluk Islam selepas melalui episod masalah kesihatan.
Menurut Muhammad Mikhael, 41, dia yang bergelar mualaf sejak tujuh tahun lalu tidak pernah memaksa ibunya, M Muniamah, 75, yang kini nama Islamnya, Maimunah Sathayah Muniandy untuk mengikuti jejaknya.
Katanya, biarlah wanita itu melihat sendiri perubahan hidupnya sebagai seorang Muslim tanpa tekanan.
“Selepas saya masuk Islam, mak memang tinggal dengan saya sejak 2018. Baru-baru ini mak macam kurang sihat. Bila dia (mak) dalam keadaan itu, dia terfikir kalau apa-apa jadi pada dia, macam mana saya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Anak bongsu dari dua beradik itu berkata, keadaan kesihatan ibunya makin membimbangkan apabila wanita itu mengalami paras gula rendah menyebabkan dia dan isterinya cemas.
“Masa tu mak siap bergurau, kalau mak tak ada esok, jangan sedih sangat sebab mak dah tua. Kata-kata itu buat saya tertekan sampai kena makan ubat penenang,” ujarnya.
Melihat keadaan itu, Muhammad Mikhael akhirnya memberanikan diri mengajak ibunya memeluk Islam sebelum mendapatkan bantuan Ustaz Mohammad Hafiz Ng Abdullah membimbing melafaz dua kalimah syahadah.
“Saya ajak… mak, jom ikut sekali. Jom masuk Islam, mak. Dia terdiam. Tak banyak respon pun. Tapi semuanya jadi mudah,” katanya.
Tambahnya, hubungan harmoni antara dia dan isteri turut menjadi faktor yang membuka hati ibunya memeluk Islam.
“Mak tengok saya dengan isteri sangat bahagia. Saya cakap pada mak, kita akan bersama bertiga. Baru mak ok. Semua berlaku automatik… macam Allah susun cantik-cantik,” katanya.
Muhammad Mikhael yang berasal dari Tambun, Perak terkenal dengan perwatakan seperti gengster apabila sering memuat naik kandungan media sosial dengan gaya memakai rantai besi besar, bersinglet serta riak muka yang garang, namun ‘anak mak’.
Meskipun dia dan ibunya yang digelar ‘mak titew’ berlainan agama, tetapi hubungan kedua-dua beranak berbangsa India itu sangat erat.
Muhammad Mikhael berkahwin dengan wanita pilihan, Murni Azwa Dahalan pada 2024.














