fbpx
KUMPULAN NGO digesa untuk memperluaskan sumbangan makanan termasuk kepada para pelajar yang memerlukan dan tidak semata-mata diberikan kepada golongan gelandangan. – GAMBAR HIASAN

Pelajar pun ramai yang lapar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Badan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang menyalurkan bantuan makanan kepada golongan gelandangan di ibu negara digesa menilai semula pendekatan mereka dalam memberi sumbangan bagi mengelak berlakunya pembaziran.

Gesaan itu disuarakan secara meluas di media sosial selepas Kosmo! mendedahkan situasi­ gelandangan di sekitar Kuala Lumpur yang mendakwa me­nerima terlalu banyak makanan sumbangan, terutamanya pada waktu malam.

Tinjauan mendapati, rata-rata pengguna berpandangan, niat NGO untuk membantu sangat bagus, namun perlu disertai de­ngan pengurusan yang tersusun agar bantuan benar-benar sampai kepada golongan memerlukan.

Pengguna dikenali sebagai Raze­mim berkata, visi NGO memberi makanan kepada golongan gelandangan perlu dipuji, namun sekiranya pembaziran berlaku, sumbangan itu sebaiknya diberikan kepada golongan lain seperti pelajar.

“Usaha sudah bagus, tetapi jika banyak makanan terbuang, tak tercapai pun hasrat membantu gelandangan sebaliknya hanya ke arah pembaziran. Elok bagi pada pelajar yang sedang bergelut,” katanya.

Seorang lagi pengguna dikenali sebagai Azroy mahu supaya NGO lebih bijak menilai keperluan semasa dan tidak hanya tertumpu kepada golongan yang tidur di kaki lima semata-mata.

“NGO atau pihak yang bagi bantuan itu kena lebih cerdik dan rajin. Jangan hanya nampak orang yang tidur di tepi jalan atau bawah jambatan sahaja perlukan makanan. Sebenarnya ramai lagi orang miskin yang kelaparan dalam rumah,” katanya.

Selain itu, ada yang mencadangkan supaya NGO membuat kajian lebih mendalam mengenai sistem pengurusan agihan makanan agar tidak berlaku lambakan di satu-satu kawasan.

“Kena belajar lagi pengurusan. Kalau membazir, kurangkan produksi atau bahagikan ke kawasan lain juga,” kata Rinna.

Sementara itu, seorang pengguna menzahirkan rasa kecewa terhadap segelintir gelandangan yang dianggap tidak berusaha untuk keluar daripada keadaan itu, sedangkan bantuan tersebut boleh diberikan kepada golongan lain yang lebih memerlukan.

“Mungkin lebih baik bagi kepada pelajar yang duduk di luar atau di asrama. Kadang mereka ini tidak makan.

“Daripada bagi kepada orang yang malas bekerja. Allah bagi tulang empat kerat, banyak kerja boleh buat tetapi mereka pilih jadi gelandangan,” kata Rina Sulong.

Bagaimanapun, ada juga yang memuji niat baik NGO dan me­nyarankan agar mereka memperbaiki cara pelaksanaan supaya tidak membazir.

“Visi NGO memang bagus untuk menolong mereka. Cuma cara mereka mengambil terlebih dari badan,” kata Dan Lada.

Kosmo! semalam melaporkan, rata-rata gelandangan di ibu negara mengakui mereka dilambakkan dengan makanan hasil sumbangan orang perseorangan dan
NGO terutama pada waktu malam sehingga terpaksa dibuang di dalam tong sampah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN