fbpx
Manusia yang bijak adalah mereka yang menghargai setiap jam, memanfaatkannya untuk kebaikan dan tidak menangguhkan amal soleh. - GAMBAR HIASAN

Jangka hayat rakyat Malaysia 665,760 jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Jangka hayat rakyat Malaysia secara purata telah meningkat kepada 76 tahun dalam tempoh lima dekad kebelakangan ini. Barangkali ramai berasa gembira dengan perkembangan tersebut kerana ia bermakna seseorang berpeluang untuk hidup lebih lama.

Bagaimanapun, secara harfiah, adakah usia 76 tahun yang dianggarkan tersebut suatu tempoh yang sangat panjang? Walhal dalam angka itu, seseorang sebenarnya hanya memiliki selama 665,760 jam untuk menjalani kehidupan di dunia ini.

Jika telah pun mencapai usia 40 tahun, ia bermakna lebih separuh masa yang diperuntukkan untuknya telah pun berakhir. Hidupnya cuma berbaki 315,360 jam selepas 24 jam berlalu dalam sehari, 168 jam menghilang dalam seminggu dan 8,760 jam berkesudahan selepas setahun.

Sahabat lama yang kini bergelar Ustaz Amar berkata kepada saya: “Demi masa sesungguhnya manusia berada dalam kerugian.” Dia yang kini tenaga pengajar di sebuah ‘markas’ jemaah tabligh berkata demikian ketika bertanya saya tentang matlamat yang perlu dicapai hidup.

Katanya, firman Allah SWT dalam surah Al-Asr itu sangat diketahui umum, malah sering didengari ramai orang sejak kecil. Namun katanya, semakin meningkat usia barulah makna ayat itu akan benar-benar menikam jiwa bagi mereka yang mengerti.

“Ia peringatan paling lembut dan paling tajam tentang betapa singkatnya hidup manusia. “Berapa lama kita hidup di atas muka bumi ini adalah urusan Allah SWT, tetapi sememangnya singkat.

“Bekerja lapan jam, dalam kenderaan dua jam, makan satu jam, tidur lapan jam, kau cuma ada baki lima jam sehari untuk diri dan keluarga,” katanya baru-baru ini.

Justeru katanya, setiap jam yang berlalu adalah suatu kerugian jika tidak diisi dengan keimanan kerana masa bergerak sangat pantas. Saya pula merumuskan kata-kata itu dalam konteks kesibukan dunia moden, manusia sering alpa masa adalah anugerah paling berharga.

Masa tidak boleh dibeli, diganti atau diulang, malangnya masih ada mereka yang bersikap sombong, ego dan bongkak dengan kehidupan di dunia. Sikap mendabik dada dengan status, kuasa dan pangkat hanya menunjukkan kelalaian terhadap hakikat hayat yang sebentar.

Masa perlu diisi dengan keikhlasan dan kebaikan berbanding dibazirkan dengan kebanggaan kosong dan perebutan kuasa. Manusia yang bijak adalah mereka yang menghargai setiap jam, memanfaatkannya untuk kebaikan dan tidak menangguhkan amal soleh.

Setiap jam yang berlalu adalah satu langkah menuju destinasi akhir. Kuasa dan kedudukan, jawatan serta pangkat tidak dapat menghentikan masa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN