SEBELUM menaiki bot, kami seramai 13 orang berkumpul di Jeti Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam, Selangor. Pada pukul 9.30 pagi, dua buah bot fiber tiba dan perjalanan mengambil masa kurang dari setengah jam untuk ke kelong.
Dari jauh lagi sudah kelihatan tersergam kelong yang diperbuat daripada bahan kukuh pada setiap tiang strukturnya.
Bangunan konkrit dua tingkat dengan beberapa bilik itu turut dilengkapi tandas, surau dan dewan makan.
Kami tempah pakej keseluruhan kelong dengan tukang masak untuk tiga kali makan sehari selama trip tiga hari dua malam di situ.

Selepas memilih tapak memancing pilihan, masing-masing terus memulakan sesi pancingan. Kami bebas memilih sudut di seluruh kelong itu kerana kumpulan
kami sahaja yang ada pada masa itu. Ini secara tidak langsung memudahkan aktiviti pancingan dilakukan.
Sembilang
Ikan pertama trip merupakan seekor sembilang yang dipancing di bahagian tengah-tengah kelong. Pada hari pertama, ikan tidak beberapa aktif, kami hanya lepak dan berehat.
Tetapi pada hari kedua, kami berjaya mengesan lubuk ikan sembilang di tiga batang tiang struktur kelong. Kami bersilih ganti menaikkan ikan sembilang di lokasi tersebut.
Selain itu, kawasan sekitar tangga sebelum ke tingkat atas juga menjadi rumah sembilang kerana banyak ikan tersebut dinaikkan di sana.
Walaupun kelong ini terkenal dengan populasi ikan bergred baik seperti senangin, kurau, gerut-gerut dan pari, namun kami hanya berjaya mendapat ikan tetanda dan jenahak.
Di hari terakhir, kami hanya bersantai memancing sambil berkemas untuk pulang sekitar pukul 2 petang.















