KOTA BHARU – Penggunaan ganja sintetik yang dicampur bersama cecair vape secara berterusan sejak tiga tahun lalu menyebabkan seorang pemuda hampir menjadi gila akibat terlalu berlebihan mengambil dadah tersebut.
Zarif (nama samaran), 21, yang berasal dari Jengka, Pahang mengakui dia terlalu bergantung kepada magic mushroom sepanjang belajar di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Kuantan.
Menurutnya, dia senang jadi pemarah dan sukar untuk mengawal perasaan tersebut terutamanya apabila berdepan dengan situasi yang menyebabkan emosinya terganggu.
“Saya mempunyai masalah dengan bapa kerana dia sangat kongkong saya sejak kecil. Saya selalu ada perasaan ingin membunuhnya selepas ambil magic mushroom terutamanya apabila kami bertengkar terutamanya semasa saya berada di rumah semasa cuti semester.
“Ada bisikan yang suruh saya bunuh bapa. Saya seperti orang gila apabila rasa diri sudah tidak waras ketika ada masalah dengan bapa,” ujarnya yang kini menjalani pemulihan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) di sini.
Ujar Zarif jika, dia bernasib baik tidak mengikut bisikan untuk mencederakan bapa sendiri apabila datang perasan marah membuak-buak.
Kata Zarif, semasa belajar di IPTA, dia menyewa sebuah rumah bersama 10 orang rakan pengajian dan kesemua mereka juga penghisap vape yang dicampur cecair magic mushroom.
Ujarnya, persekitaran itu memudahkan dia untuk sentiasa menghisap dadah tersebut kerana tiada yang nampak janggal dalam kalangan mereka.
Seorang lagi klien Puspen Kota Bharu yang mahu dikenali sebagai Ashrul, 19, berkata, dia hampir menghunus sebilah keris semasa pegawai dan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) datang ke rumah untuk membawanya ke Puspen bulan lalu.
Menurutnya yang berasal dari Wakaf Bharu, Tumpat, dia ketika itu tidak sedar apabila terlalu khayal akibat pengaruh magic mushroom sebelum menyedari pihak AADK berada di depannya.
“Ahli keluarga kata saya seperti orang gila. Salah saya juga kerana saya bukan hanya mengambil magic mushroom, tetapi dadah sintetik lain iaitu syabu,” katanya.
















