HANNAH (tengah) memuji usaha MIYC dalam memperkasa kepimpinan wanita muda India dan menyarankan agar konvensyen ini dijadikan program tahunan.

Konvensyen perkasa wanita muda India

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUASANA di Puspanitapuri baru-baru ini meriah dengan kehadiran 580 peserta dari seluruh negara sempena Konvensyen Beliawanis India Malaysia 2025 anjuran Majlis Belia India Malaysia (MIYC).

Program yang mendapat sokongan penuh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu menjadi wadah penting dalam memperkasakan kepimpinan serta peranan wanita muda India dalam pembangunan negara.

Konvensyen tersebut menampilkan pelbagai forum, pameran dan sesi interaktif yang menekankan kepimpinan, inovasi serta keusahawanan kalangan wanita muda.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Nalini Pathmanathan; Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Dr. Nagulendran Kangayatkarasu; Presiden MIYC, Dhanesh Basil dan Pengerusi Suruhanjaya Wanita MIYC, Kanahawalli Ghobhi.

Dalam ucapan perasmiannya, Hannah memuji usaha MIYC dalam memperjuangkan kepimpinan wanita muda dan menyarankan agar konvensyen ini dijadikan program tahunan.

Beliau turut menekankan pentingnya kerjasama antara belia, agensi kerajaan dan pembuat dasar dalam memperkasa wanita India muda agar terus aktif menyumbang kepada kemajuan negara.

Presiden MIYC, Dhanesh Basil pula berkata, hasil dapatan konvensyen itu akan diguna untuk membangunkan Dashboard Belia dengan kerjasama Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia.

Ujarnya, langkah ini bertujuan memastikan pembangunan wanita dan belia dipacu berdasarkan data yang kukuh serta berasaskan bukti.

“Usaha ini penting agar kemajuan wanita dan belia dapat digerakkan berasaskan data yang tepat dan bukti yang sahih,” katanya.

Antara pengisian utama konvensyen ini ialah siri forum bertemakan ‘Inspirasi Wanita’ yang menampilkan tokoh wanita berpengaruh dalam pelbagai bidang.

Forum pertama memberi tumpuan kepada peranan wanita dalam perkhidmatan awam dan kehakiman dengan menampilkan Hannah, Nalini, Datuk Dr. Waitchalla R.R.V Suppiah, Datuk Dr. Punitha Silivarajoo dan Vijeyatharzini Bathmanathan.

TURUT diadakan aktiviti Women Auto Show sempena Konvensyen Beliawanis India Malaysia 2025 di Puspanitapuri, Putrajaya baru-baru ini.

Forum kedua pula mengetengahkan kisah kejayaan dalam politik, keusahawanan dan sukan melalui perkongsian pengalaman oleh Kasthuri Patto, Sailajah Selveekam dan atlet karate negara, Shahmalarani Chandran yang dikendalikan oleh Sangeet Kaur Deo.

Sementara itu, forum terakhir bertajuk ‘Kreativiti Mencorak Dunia’ menampilkan pengarah filem Dr. Vimala Perumal, penerbit Shalini Balasundaram dan pelakon Pashini Sivakumar dengan moderator oleh Pengarah Projek Konvensyen, Shameera Nasreen Ahamed Noordeen.

Forum tersebut menonjolkan bagaimana penceritaan dan seni kreatif mampu menjadi medium perubahan sosial serta pemangkin kepada pemerkasaan wanita dalam industri kreatif tempatan.

Selain sesi forum, konvensyen itu turut memperkenalkan inisiatif gaya hidup Rakan Muda yang merangkumi aktiviti pembangunan holistik belia Malaysia.

Melalui rakan niaga, seramai 28 usahawan wanita menampilkan pelbagai produk termasuk makanan, minuman, fesyen dan kraftangan.

Di samping itu, pelbagai aktiviti interaktif turut diadakan seperti Women Auto Show, bengkel solekan dan gaya diri serta lawatan ke Parlimen yang bertujuan memupuk keyakinan, kreativiti dan semangat kepimpinan dalam kalangan peserta.

Sementara itu, Shameera berkata, kejayaan penganjuran konvensyen tersebut adalah hasil komitmen dan kerjasama erat antara pelbagai pihak termasuk KBS, rakan strategik dan agensi pelaksana.

“Kami amat berbesar hati dengan sokongan semua pihak yang bersama menjayakan Konvensyen Beliawanis India Malaysia 2025.

“Setiap sesi dan aktiviti yang dirancang membawa mesej jelas bahawa wanita muda India mempunyai potensi besar untuk memimpin dan mencorak masa depan negara,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN