HIRISAN pertama lapisan pastri keemasan beef Wellington itu mendedahkan daging lembut yang masih merah jambu di tengah, berjus dan harum.
Bila digigit, pastrinya rangup, dagingnya pula lembut dengan rasa lemak manis yang perlahan-lahan mencair di lidah.
Setiap lapisan berpadu seperti simfoni kecil yang membangkitkan rasa mewah dan hangat dalam setiap gigitan.
Sajian kelas atasan dalam budaya kulinari British ini dihidangkan bersama jus, kentang lenyek dan tomato ceri panggang sebagai pelengkap rasa.
Kini, menu klasik British versi halal ini boleh dinikmati oleh masyarakat Muslim di The Great Chase KL di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur.
Menurut pemilik bersama restoran, Izzat Afandi Azmi, penggunaan wain dalam sos yang menjadi kelaziman di Britain digantikan dengan jus bagi memastikan hidangan tersebut menepati piawaian halal tanpa menjejaskan rasa asalnya.
“Resipi klasik beef Wellington adalah tidak halal kerana terdapat penggunaan alkohol dan bahan mentah seperti daging yang tidak memenuhi syarat.
“Namun, kami mengolahkan resipi tersebut dengan menggunakan bahan-bahan halal agar pengalaman menikmati makanan mewah ini turut dapat dirasai masyarakat Muslim.
“Restoran ini terhasil daripada kerjasama dua orang Muslim dan seorang bukan Muslim, oleh itu kami mampu menghasilkan makanan versi halal tanpa menjejaskan rasa asli makanan tersebut,” katanya kepada CitaRasa.

Untuk pengetahuan, The Great Chase KL merupakan cawangan antarabangsa pertama bagi restoran halal terkenal dari London, The Great Chase yang diasaskan oleh Mabruk Khan bersama rakan kongsinya, Simon Pearson.
Restoran asal di London itu dikenali sebagai pelopor dalam memperkenalkan hidangan Barat berkonsep halal yang mengekalkan cita rasa klasik serta gaya penyajian mewah setaraf restoran fine dining.
Untuk cawangan di Malaysia, pihak restoran kini sedang memohon pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang dijangka siap dalam tempoh empat hingga enam bulan.
Selain itu, pelanggan turut boleh menikmati hidangan klasik British Sunday roast yang ditawarkan dengan pilihan daging lembu, kambing atau ayam.
Antara komponen utamanya termasuk lobak, kentang, sayur kubis, sayur cajun serta isian sage dan bawang yang menyerupai cucur.
Hidangan ini dilengkapi dengan Yorkshire pudding, roti lembut yang menjadi sumber karbohidrat utama dan pelengkap rasa.
Ia turut disajikan bersama neeps puré, whole grain mustard, jem kranberi buatan sendiri serta kuah istimewa yang disediakan mengikut jenis daging.

Bagi pelanggan yang tidak mahu makanan berat, mereka boleh memesan roti putih dengan tiga pilihan mentega signatur yang unik iaitu coconut date butter, ikan bilis butter dan rendang butter.
Menu Mackerel Yakitori menampilkan ikan mackerel panggang yang dilakukan glaze dengan sos teriyaki dan dihidangkan bersama shoestring nori fries, pickled jelatah serta wasabi aioli.
Hidangan tersebut turut disertakan dengan salad timun lenyek yang disalut sos campuran sirap mapel, tahini dan minyak cili.
Antara minuman signatur termasuk raspberry meringue, sunset haven dan grenadine mocktail yang semuanya dihasilkan dengan sirap dan bahan buatan sendiri bagi menjamin status halal serta menawarkan rasa segar dan mewah.
Bagi pencuci mulut pula, sticky toffee pudding menjadi tarikan utama dengan gabungan kurma, gula perang dan sos butterscotch yang disajikan bersama ais krim vanila.
Kongsi Izzat Afandi lagi, sesetengah bahan sukar diperoleh di Malaysia, maka resipi diubah suai bagi menyesuaikan diri dengan cita rasa tempatan.
“Satu bulan penyelidikan dan pembangunan dijalankan sebelum pembukaan restoran bagi menyesuaikan rasa dengan selera tempatan.
“Sebagai contoh, buah-buahan tempatan mempunyai rasa yang lebih manis, justeru sukatan gula dalam masakan turut dikurangkan bagi seimbang rasa,” katanya.














