fbpx
KASMAAZLEENA menunjukkan gambar arwah anaknya, Muhammad Daniel atau mesra dipanggil Uda di Kota Tinggi semalam.

‘Uda anak yang baik, kalau barang di dapur kurang dia cukupkan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA TINGGI – Kegembiraan seorang anggota tentera me­nyambut hari kelahiran bersama pasangan kekasih yang merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berakhir tragedi selepas mereka rentung dalam kereta Toyota Vios di Kilometer 32, Jalan Tanjung Balau-Sedili, dekat sini semalam.

Ibu mangsa, Kasmaazleena Kamsan, 47, berkata, anaknya, Muhammad Daniel Saberi ada memaklumkan pada malam kelmarin bahawa dia keluar me­nyambut ulang tahun kelahiran bersama teman wanitanya, Aiza Nur Elysha Sabri, 17, yang turut maut dalam kejadian sama.

“Petang semalam (kelmarin) dia keluar rumah kira-kira pukul 3 petang. Malam tadi (kelmarin) dia ada hubungi saya tunjuk gambar dia dan teman wanitanya pergi makan sambut hari lahir.

“Saya tanya dekat mana, dia kata dekat Stulang. Saya cakap jauhnya, nanti esok Uda (nama panggilan mangsa) nak kerja kalau penat, mengantuk macam mana. Buat sementara ini dia tidak berkhidmat sebagai askar, namun bekerja Grab.

“Dia kata tidaklah ibu, sekejap saja. Lepas makan ini Uda hantar Baby (Aiza Nur Elysha) balik. Kemudian saya telefon pukul 4 pagi, pukul 5 pagi tak angkat-angkat. Saya kata mana budak ni? Tak pernah pula dia tak angkat telefon saya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT) semalam.

Ibu enam anak itu berkata, dia kemudian beranggapan bahawa Uda tidur di rumah keluarga teman wanitanya itu sebelum dikejutkan dengan kehadiran polis kira-kira pukul 6 pagi.

Katanya, ketika itu polis memaklumkan anaknya terlibat kemalangan dan menyuruhnya hadir ke Unit Forensik HKT.

Ujarnya, bila Uda keluar rumah petang kelmarin, dia berasa tidak sedap hati, namun tidak mahu melayani rasa tersebut.

“Tidak sangka rasa itu menjadi kenyataan bila Uda terlibat nahas. Arwah memang dah lama kenal dengan teman wanitanya itu dan merancang untuk bertunang pada 2 Februari tahun depan, tarikh sama dengan hari lahir bapanya.

“Namun hasrat itu terkubur. Mereka meninggal dunia bersama-sama. Uda seorang yang suka menghiburkan, bergurau dengan kami seperti arwah abangnya yang meninggal dunia akibat kemalangan pada 2018.

“Tak sangka dia pun sudah pergi ikut abang dia. Dia memang sayang adik-adik. Kalau ada duit dia tak pernah kedekut belanja kami. Dia selalu tengok barang dekat dapur ada tak yang kurang dia akan cukupkan,” katanya.

Sementara itu, ibu Aiza Nur Elysha, Hapisah Abdul Aziz, 50, berkata, dia dimaklumkan oleh salah seorang anaknya bahawa kereta Baby bersama teman lelakinya terbakar sebelum mereka berdua rentung.

“Kira-kira pukul 7 pagi ada polis hubungi saya menyuruh saya ke hospital bawa kad pengenalan anak. Masa tu memang tak tahu anak sudah meninggal dunia ­kerana polis belum maklum keadaan anak.

“Namun bila dimaklumkan sedemikian kami semua sudah dapat agak sebab dah tersebar di WhatsApp ada kemalangan kereta terbakar dengan seorang lelaki dan perempuan maut.

“Anak-anak lain memang kenal kereta Toyota Vios itu adalah kenderaan yang dinaiki anak dan teman lelakinya,” katanya.

Hapisah berkata, anaknya itu bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semenchu dan tahun ini bakal duduki pe­periksaan SPM.

“Arwah anak adik nombor enam daripada lapan beradik. Dia merupakan seorang anak yang manja. Mungkin sebab dia adalah anak perempuan bongsu dalam keluarga jadi itu menyebabkan dia agak manja.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan dipandu lelaki berusia 21 tahun itu terbabas sendiri sebelum hilang kawalan dan melanggar pokok kelapa sawit lalu terbakar.

“Ekoran itu pemandu dan penumpang hadapan Toyota Vios itu telah mengalami kecederaan parah serta terbakar seluruh anggota badan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat telah dirujuk ke unit forensik HKT bagi tujuan prosedur siasatan. Kes masih dalam siasatan polis dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Katanya, hasil semakan pihak polis mendapati, Muhammad Daniel kini sedang dalam tempoh bercuti daripada khidmat tentera kerana masalah kesihatan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN