Peserta rusuhan di Bolivia mengibarkan Jolly Roger manga One Piece, manakala aktivis Global Sumud Flotilla mengenakan baju dengan karakter Monkey D. Luffy di samping Greta Thunberg. - AFP

Kuasa ‘Jolly Roger Lanun Topi Jerami’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Buat fandom manga dan anime One Piece, Eiichiro Oda adalah seorang genius. Seorang mangaka dari bandar Kumamoto, Jepun yang sejak kecil mengimpikan dunia penuh kebebasan dan sahabat setia.

Dilahirkan pada tahun 1975, Oda mula melukis ketika berusia empat tahun dan menjadikan pelukis terkenal seperti Akira Toriyama (Dragon Ball) sebagai inspirasinya.

Di dunia moden yang dipenuhi konflik dan penindasan, budaya pop sering menjadi bahasa universal untuk menyuarakan keadilan. Salah satu simbol yang paling menonjol kebelakangan ini ialah bendera Jolly Roger milik kru Lanun Topi Jerami.

Siapa sangka apa yang bermula sebagai kisah pengembaraan fantasi kini berkembang menjadi simbol pemberontakan terhadap sistem dunia yang tidak adil. Penulis membaca One Piece sejak 2001 hingga kini.

Watak protagonisnya, Monkey D. Luffy diperkenalkan pada 1997. Seorang remaja yang bercita-cita menjadi Raja Lanun dengan semangat luar biasa untuk mencari kebebasan.

Ceritanya bukan sekadar tentang pengembaraan mencari harta karun bernama One Piece, tetapi tentang perjuangan menentang kekuasaan World Government korup dan sistem yang menindas rakyat.

Tema-tema inilah yang menjadikan karya Oda kekal relevan selama lebih dua dekad.

Bendera Jolly Roger milik Lanun Topi Jerami iaitu tengkorak tersenyum memakai topi jerami, menjadi lambang persahabatan, keberanian dan kebebasan.

Dalam dunia fiksyen One Piece, bendera ini bukan tanda keganasan, tetapi simbol penentangan terhadap kerajaan dunia yang penuh rahsia dan penipuan. Simbol inilah yang kini diangkat di dunia nyata sebagai tanda protes generasi muda.

Fenomena penggunaan bendera ini mula menarik perhatian antarabangsa pada tahun 2025 apabila rakyat Indonesia mengibarkannya menjelang Hari Kemerdekaan republik itu.

la bukan sekadar trend anime, namun pernyataan rasa kecewa terhadap ketidakadilan sosial, penindasan dan korupsi. Anak-anak muda menganggap bendera Lanun Topi Jerami melambangkan semangat untuk melawan penindasan dengan cara kreatif dan damai.

Dari Indonesia, gelombang simbol ini merebak ke Nepal, Filipina dan beberapa negara Asia lain. Menariknya, bendera ini juga mula muncul dalam protes solidariti untuk Palestin antara 2023 hingga kini.

Di tengah-tengah lautan bendera Palestin di Kuala Lumpur, Jakarta, London dan New York muncul bendera One Piece. Sebuah pernyataan bahawa penindasan di dunia nyata menyerupai kezaliman yang digambarkan dalam kisah One Piece.

Dalam kedua-dua dunia, kuasa besar menindas yang lemah sementara wira-wira kecil berjuang menegakkan keadilan. Oda sendiri sering menekankan bahawa One Piece ialah kisah tentang ‘orang-orang yang melawan kuasa yang menindas dengan hati yang bebas’.

Dari tangan Oda lahir ‘Drums of Liberation’, dua dekad kemudian, hasil imaginasinya One Piece bukan lagi sekadar manga, ia kini sebuah manifesto budaya bahawa kebebasan adalah hak setiap manusia. Oda yang genius!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN