YAN – Seorang buruh binaan warga Bangladesh maut dipercayai akibat dijerut dalam kejadian di sebuah rumah di Teroi, Guar Chempedak di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu berlaku selepas mangsa berusia 37 tahun bertengkar dengan seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun.
Mangsa dan suspek tinggal di rumah tersebut bersama lima lagi penghuni terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan empat lelaki Bangladesh. Mereka bekerja sebagai buruh binaan di tapak pembinaan jambatan di Bukit Jenun.
Ketua Polis Daerah Yan, Superintendan Mohammad Harmizi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati pergaduhan bermula apabila lelaki tempatan terbabit menegur mangsa yang lewat bersiap untuk ke tempat kerja.
“Berang dengan teguran itu mangsa mengambil sebilah parang dan melibas ke arah rakan sekerjanya yang ketika itu memegang batang besi.
“Lelaki tempatan itu kemudian mencapai wayar kabel dan bertindak menjerut mangsa. Mangsa didapati tidak sedarkan diri sebelum lelaki tersebut membuat laporan polis,” katanya di sini hari ini.
Katanya, pemeriksaan ke atas mayat mangsa menemukan tiga kesan jerutan pada leher dan luka di bibir.– KOSMO! ONLINE