PETALING JAYA – Masalah mental dan gangguan jiwa keterlaluan boleh mendorong seseorang individu untuk bertindak di luar jangkaan sehingga membunuh dengan kejam.
Ia banyak dipengaruhi oleh faktor lain termasuk tekanan emosi yang tidak diluahkan dengan betul, pengaruh kandungan di media sosial selain pendedahan kepada permainan video berunsur ganas.
Individu sebegini biasanya akan muncul secara tiba-tiba, dan dalam banyak kes, perilaku ganas ‘meledak’ sehingga mencetuskan tindakan yang mengejutkan.
Penganalisis Jenayah dan Pakar Kriminologi, Shahul Hamid Abd Rahim berkata, tindakan itu yang didorong daripada masalah gangguan jiwa kadangkala tidak disedari pelaku kerana turut dipengaruhi oleh perkara lain.
“Dari sudut kriminolgi, tindakan ini boleh dipengaruhi faktor seperti dendam yang keterlaluan sehingga menimbulkan perasaan kejam untuk membunuh.
“Apa yang dilakukan individu itu sebenarnya dia tidak sedar kerana gangguan yang dialami dan tindakan tersebut adalah di luar kawalan manusia yang waras,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Shahul berkata, masalah mental seperti psikopati turut disyaki mempengaruhi tindakan seseorang yang sanggup melakukan sesuatu yang tragis.
Katanya, psikopati ini merujuk kepada keperibadian antisosial yang mana individu itu kurang empati, penyesalan dan perasaan bersalah serta melanggar norma atau hukum.
“Kita boleh syak terdapat masalah mental pada individu kerana orang yang waras tidak mungkin akan melakukan sesuatu yang dianggap kejam.
“Kebiasaannya, suspek kes bunuh mempunyai motif tersendiri untuk bertindak sedemikian seperti cemburu, dendam dan tidak puas hati termasuk dipengaruhi dadah atau sebagainya,” katanya.
Pensyarah Kanan dan Perunding Psikologi Klinikal, Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Hilwa Abdullah @ Mohd. Nor
berkata, terdapat sebahagian remaja yang kelihatan pendiam atau tenang sebenarnya memendam banyak tekanan dalaman yang tidak disedari oleh orang sekeliling.
“Secara amnya, faktor yang kita lihat dari segi psikologi dan emosi anak itu, mungkin ada perkara-perkara yang dipendam dan tidak disalurkan kepada saluran yang betul menyebabkan mereka mengumpul segala tekanan perasaan itu sehingga dia ‘meletup’. Itu satu tekanan.
“Mungkin kita tidak tahu apa yang dialami, dari luaran nampak mereka seperti tiada apa-apa, kita tidak tahu apa yang bermain di fikiran mereka,” katanya.
Dr. Hilwa berkata, faktor sosial juga memainkan peranan termasuk persekitaran sekolah dan pendedahan kepada kandungan media sosial yang tidak sesuai.
“Orang ramai banyak kaitkan penggunaan media sosial kerana sekarang ini bahan-bahan di media sosial terlalu mudah diakses oleh anak-anak. Kadang-kadang tanpa menaip apa-apa pun, pelbagai bahan akan muncul kerana algoritma teknologi.
“Jika anak itu sedang tertekan atau fikirannya cenderung kepada sesuatu yang agresif, kandungan sebegitu mungkin muncul dan memberi kesan kepada emosi mereka,” katanya.
Beliau menambah, dalam psikologi, fenomena pembelajaran melalui pemerhatian atau observational learning juga memainkan peranan penting dalam pembentukan tingkah laku seseorang.
“Apa sahaja yang kita lihat di persekitaran, kita cenderung untuk meniru. Begitu juga apabila seseorang kerap menonton permainan video atau video berunsur ganas, dia mudah terpengaruh dan meniru aksi agresif yang dilihatnya jika tidak berhati-hati atau tidak beringat.
“Secara tidak langsung, emosi negatif turut dipamerkan dan pemikiran juga boleh terpengaruh dengan apa yang dilihat secara berulang kali,” katanya.
Pakar Motivasi dan Kaunseling Rumah Tangga, Hushim Salleh pula berkata, penggunaan gajet secara berlebihan oleh kanak-kanak dan remaja kini menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan masalah kemurungan serta tekanan jiwa.
Beliau berkata, ramai pelajar pada masa ini menunjukkan tanda-tanda awal gangguan mental akibat terlalu banyak menghabiskan masa bermain gajet tanpa berinteraksi secara bersemuka dengan ibu bapa atau orang sekeliling.
“Kalau anak kita tidak banyak bercakap, suka menyendiri dan terlalu introvert, itu sebenarnya satu amaran. Ia boleh membawa kepada masalah kejiwaan serta tekanan mental dan emosi,” katanya.
Menurut Hushim, kekurangan komunikasi dua hala antara ibu bapa dan anak menjadi antara punca utama pelajar berasa tertekan hingga ada yang bertindak di luar kawalan termasuk mencederakan diri atau orang lain.
“Saya banyak terima kes di klinik. Bila diselidik, rupanya anak-anak ini terlalu lama duduk menghadap gajet. Mereka terpengaruh dengan kandungan video yang tidak sesuai, berkurung dalam bilik dan akhirnya jadi overthinking serta stres,” jelasnya.
Terdahulu, negara digemparkan dengan kejadian tikam di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama di sini melibatkan pelajar lelaki berusia 14 tahun sehingga menyebabkan seorang pelajar perempuan 16 tahun maut.
Ibu mangsa dalam satu sidang akhbar mendedahkan, terdapat kira-kira 200 tikaman ditemui pada badan mangsa yang sebelum itu ditemui berlumuran darah di dalam sebuah tandas di sekolah berkenaan.
















