PETALING JAYA – Seramai 8.8 juta penerima akan menerima bayaran Fasa 4 Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bermula esok iaitu lebih awal daripada jadual asal pada pertengahan November.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan memaklumkan, bagi fasa ini kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM2 bilion, dengan kadar bayaran sehingga RM700 yang ditetapkan mengikut kategori
“Jumlah ini termasuk 200,000 pemohon baharu yang telah diluluskan bayaran Fasa 4 STR, yang mana penyaluran akan dibuat mulai 13 November 2025.
“Berbanding Fasa 1 pada Januari 2025, jumlah penerima Fasa 4 meningkat sebanyak 500,000 individu dan isi rumah daripada 8.3 juta susulan keputusan Kerajaan Madani untuk membuka permohonan baharu dan rayuan sepanjang tahun,” jelas kenyataan itu.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tekad Kerajaan Madani adalah untuk memastikan bantuan yang melibatkan agihan limpahan negara dapat dimanfaatkan oleh segenap lapisan rakyat Malaysia.
“Diharapkan penyaluran Fasa 4 STR 2025 ini sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan kewangan menjelang sambutan Deepavali,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Kementerian Kewangan memberitahu pendaftaran STR dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) 2026 akan terus dibuka sepanjang tahun agar lebih ramai rakyat berpeluang mendapat manfaat daripada bantuan Kerajaan.
“Seperti diumumkan oleh Datuk Seri Anwar ketika pembentangan Belanjawan Madani Keempat pada 10 Oktober 2025, peruntukan keseluruhan STR dan Sara mencecah RM15 bilion bagi tahun 2026.
“Bagi penerima sedia ada, data mereka akan dibawa secara automatik ke dalam pangkalan data Kerajaan bersama data daripada agensi-agensi berkaitan untuk semakan kelayakan STR dan Sara 2026 mengikut syarat yang ditetapkan,” katanya.
Jelas kementerian itu, pendekatan ini turut mengurangkan risiko keciciran dan memastikan bantuan terus sampai kepada golongan sasar.
“Pemohon STR boleh merujuk doalan lazim (FAQ) di portal rasmi STR melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut. Semakan status pembayaran dan kelulusan STR boleh dibuat melalui pautan yang sama,” katanya. – KOSMO! ONLINE