PETALING JAYA – Seorang pelajar lelaki Universiti Malaya (UM) maut selepas dipercayai terjatuh dari bangunan kolej kediaman hari ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian lebih kurang pukul 3.15 petang.
“Mangsa berusia 22 tahun dipercayai jatuh dari bangunan kolej kediaman dan dibawa ke Hospital Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia pada pukul 4.25 petang oleh Pegawai Perubatan PPUM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, polis masih berada di lokasi kejadian bagi melakukan siasatan dan mengumpul bukti termasuk keterangan saksi.
Terdahulu, UM mengesahkan seorang mahasiswanya terjatuh dari bangunan kediaman kolej universiti itu. – KOSMO! ONLINE