REMBAU – Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan beliau hanya memberi amaran kepada orang ramai untuk tidak berada di sekitar kawasan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 minggu depan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita susulan salah faham banyak pihak mengenai perjalanan operasi termasuk perniagaan sepanjang tempoh tersebut.
Menurutnya, apa yang lebih utama ialah bagi meminta kerjasama semua pihak agar dapat menjayakan sidang kemuncak tersebut lebih-lebih lagi ia merupakan sidang kemuncak terakhir Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
“Tak ada lockdown (penutupan), saya cuma bergurau sahaja. Saya cuma nak bagi amaran kepada orang ramai supaya mana-mana yang dah cuti, yang dah kerja daripada rumah, yang mana belajar daripada rumah itu janganlah pulak menyibuk-nyibuk di kawasan KLCC.
“Kawasan KLCC itu memang ditutup sepenuhnya, dijadikan sebagai kawasan keselamatan kerana banyak ketua negara kali ini yang akan hadir. Ramai ketua negara yang bukan anggota ASEAN, rakan dialog ASEAN, tetamu kita (Malaysia) seperti Brazil, Afrika Selatan dan yang lain-lain.
“Perniagaan seperti biasa, cuma hindari berada di kawasan KLCC. Kita buat di KLCC berikutan kemudahan tempat tinggal buat ketua-ketua negara berbading di Putrajaya,” katanya di Majlis Penyampaian Sumbangan Bakul Makanan DUN Chembong sempena Depavali di Dewan Orang Ramai Pedas, di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE