PETALING JAYA – Beregu lelaki negara, Tan Wee Kiong dan Nur Azriyn Ayub membuktikan pengalaman masih menjadi senjata utama apabila mencipta kejutan menewaskan gandingan No.1 dunia, Kim Won-ho-Seong Seung-jae dari Korea Selatan pada pusingan 16 Terbuka Denmark, hari ini.
Pasangan berpengalaman itu tampil tenang dan bertenaga sepanjang perlawanan sebelum menamatkan aksi dengan kemenangan straight set 21-19, 21-14 dalam masa 36 minit sekali gus melayakkan mereka ke suku akhir kejohanan bertaraf Super 750 itu.
Bagi Wee Kiong, kemenangan itu bukan sekadar kejayaan peribadi, tetapi bukti bahawa mereka masih mampu menyaingi gandingan elit dunia meskipun tidak lagi dianggap sebagai antara pilihan utama.
“Sudah tentu kami gembira dengan kemenangan hari ini. Kami hanya mahu menikmati permainan, saling mengingatkan supaya kekal fokus dan lakukan yang terbaik di dalam gelanggang,” katanya kepada BWF.
Menentang pasangan No. 1 dunia yang cukup pantas dan agresif, Wee Kiong menjelaskan mereka memilih pendekatan berhati-hati sambil menyesuaikan diri dengan tempo permainan lawan.
“Kami tahu mereka laju dan kuat, jadi perkara pertama yang kami bincangkan ialah cuba mengikut rentak permainan mereka terlebih dahulu. Bila mereka hilang fokus, di situ kami ambil peluang untuk menyerang dan main dengan cara kami sendiri,” ujar Wee Kiong.
Ditanya mengenai persembahan mantap mereka pada usia sekarang, Wee Kiong mengakui faktor umur tidak pernah menjadi penghalang, sebaliknya pengalaman banyak membantu dalam mengekalkan keyakinan di gelanggang.
“Kami tidak pernah fikir tentang umur atau tekanan. Apa yang penting ialah terus berlatih, kekal fokus dan tidak terlalu banyak berfikir. Mungkin itu kunci kejayaan hari ini,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE