KUALA LANGAT – Seorang wanita cedera selepas terperangkap selama setengah jam dalam runtuhan bangunan Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang, Telok Panglima di sini, akibat ribut hari ini.
Wanita berusia 51 tahun itu cedera di bahagian pinggang dan paha.
Ribut yang melanda turut menyebabkan kira-kira sembilan murid Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) cedera ringan selepas surau dan bangunan kelas berhampiran turut runtuh.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, seramai tujuh anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba Sri Andalas bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.24 petang.
Katanya, bomba yang tiba 10 minit kemudiannya mendapati runtuhan melibatkan Pejabat DUN Penyelaras Sijangkang.
“Terdapat seorang wanita telah terperangkap di bawah runtuhan dan berjaya dibawa keluar pada pukul 5.05 petang.
“Mangsa yang cedera pada bahagian pinggang dan peha telah diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menerima rawatan,” katanya hari ini.
Katanya, runtuhan juga melibatkan sebuah surau KAFA berhampiran dan bangunan kelas.
“Terdapat kira-kira tujuh hingga sembilan murid KAFA mengalami kecederaan ringan. Kesemua mangsa sedang dirawat petugas KKM yang berada di lokasi,” katanya. – KOSMO! ONLINE