fbpx
MOHD. SHAHZIHAN (kiri) ditemu bual wartawan Kosmo! secara eksklusif di pejabatnya di Shah Alam baru-baru ini. - AFIQ RAZALI

‘Nak jadi ketua ajaran sesat tak perlu belajar tinggi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad mendedahkan pengasas ajaran sesat biasanya menjanjikan syurga dengan jalan pintas menerusi ilmu hakikat dan makrifat sehingga menimbulkan andaian bahawa pengikut mereka sudah bersatu dengan Tuhan dan tidak lagi perlu menunaikan solat.

Ketika ditanya mengenai pemilihan Selangor sebagai pusat ajaran sesat, beliau berkata, negeri ini merupakan tempat strategik ke­rana berlakunya migrasi.

“Selain itu, bidang pendidikan juga tertumpu di Lembah Klang khususnya di Selangor. Di sinilah potensi, cabaran dan pergaulan boleh mencetuskan idea yang pelbagai.

“Selain itu, faktor lain adalah pemicu, ia cepat disebarkan kerana kepelbagaian masyarakat yang ada di sini,” katanya dalam temu bual khas bersama Kosmo! di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Shahzihan berkata, terdapat sebanyak 30 ajaran sesat sama ada secara berkumpulan atau individu diambil tindakan oleh JAIS sejak 2019 hingga Julai lalu.

“Untuk menjadi ketua ajaran sesat tidak perlu berpelajaran tinggi, cukuplah apabila dapat meyakinkan orang ramai, pandai bercakap dan dikelilingi dengan orang yang jahil tentang Islam.

“Mereka terlalu mempermudah urusan agama dan membina keterikatan melalui ketaksuban dan sistem kepatuhan dalam kelompoknya.

“Semua ajaran sesat berbahaya kerana melibatkan ideologi, kepercayaan dan kefahaman. Orang yang lemah pegangan agama akan mudah terpengaruh, manakala pengikut yang taksub pula sukar menerima nasihat,” katanya.

Selain itu, katanya, seramai 896 individu termasuk ketua ajaran sesat ditahan dan jika disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda atau dipenjara.

“Pihak pendakwa syarie juga boleh mengesyorkan kepada mahkamah agar mereka mengikuti Program Pemulihan Akidah di Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman di Ulu Yam bagi tempoh enam bulan hingga dua tahun,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata, taktik mendakwa diri atau individu lain sebagai imam Mahdi dikesan menjadi antara helah paling kerap digunakan pengasas ajaran sesat untuk memperdaya dan menjerat pengikut mereka.

Modus operandi itu dijadikan sandaran kononnya mereka adalah pemimpin akhir zaman yang bakal memimpin tentera menentang kejahilan, sekali gus mengaburi minda pengikut yang taksub.

Mohd. Shahzihan berkata, dakyah berasaskan dakwaan palsu itu mudah menarik golongan fanatik atau pelampau yang terpengaruh dengan sosok imam Mahdi yang dinanti-nantikan oleh umat Islam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN