fbpx
HAFIZH (tengah) mengakui terkilan dengan sikap kurang profesional Zaqhwan pada perlumbaan ARRC di Sepang Ahad lalu.

Hafizh minta Zaqhwan ubah sikap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Pelumba pasukan JDT Racing, Hafizh Syahrin Abdullah meluahkan rasa kecewa atas insiden yang berlaku antaranya dengan pelumba Idemitsu Honda Racing Malaysia, Md. Zaqhwan Zaidi pada Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2025 Ahad lalu.

Pada perlumbaan 2 kategori ASB1000 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) itu, kedua-dua pelumba terlibat dalam kemalangan selepas Zaqhwan cuba untuk memintas Hafizh di selekoh kesembilan ketika pusingan terakhir.

Hafizh berkata, dia terkilan dengan insiden tersebut kerana mengambil kira pengalaman luas dimiliki Zaqhwan yang pernah beraksi atas tiket wildcard dalam kategori Moto2 pada Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP).

Justeru, Hafizh menggesa pelumba berusia 30 tahun berkenaan supaya mengubah sikap memandangkan ini bukan kali pertama Zaqhwan melakukan gerakan berbahaya seperti itu dalam saingan ARRC.

“Kecewa itu sudah pasti tetapi saya anggap ia (kemalangan) sebagai adat dalam perlumbaan. Ketika itu, kita berpeluang untuk menamatkan perlumbaan dengan pelumba Malaysia dalam tiga kedudukan teratas.

“Bagi saya, gerakan itu tidak profesional dan Zaqhwan pun pelumba berpengalaman. Saya rasa dia perlu lebih profesional kerana gerakan seperti itu sebenarnya di luar jangkaan,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada sidang media memperkenalkan Hafizh Syahrin dan Daddy Hood sebagai pemain dalam pelayan FiveM berasaskan Grand Theft Auto (GTA), Adik Beradik Role Play (ABRP) di sini, hari ini.

Sementara itu, Hafizh menjelaskan, insiden tersebut merupakan kali pertama berlaku antaranya dan Zaqhwan, namun menjelaskan, pelumba-pelumba lain juga pernah berdepan situasi sama.

“Ini pertama kali berlaku antara saya dan Zaqhwan tetapi pelumba-pelumba lain pernah berdepan (insiden) beberapa kali. Selepas ini, dia perlu fikir kerana kita mahu tengok semangat kesukanan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI