GEORGE TOWN – Seorang jurujual syarikat swasta kerugian RM1.02 juta selepas diperdaya menyertai pelaburan permainan dalam talian (game online) tidak wujud melalui pautan laman web palsu yang dipromosikan di Facebook.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah menerima laporan daripada mangsa berusia 34 tahun itu, semalam.
Menurutnya, mangsa tertarik untuk menyertai pelaburan tersebut selepas melihat iklan yang menjanjikan pulangan keuntungan sehingga 50 peratus dalam tempoh singkat.
“Mangsa kemudian diberikan pautan untuk menyertai pelaburan itu dan pada 3 September 2025, dia telah memasukkan wang sebanyak RM300,000 ke dalam akaun sebuah syarikat tempatan.
“Seterusnya antara 10 September hingga 9 Oktober 2025, mangsa membuat tujuh transaksi lagi berjumlah RM727,000 ke lima akaun syarikat berbeza,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, mangsa mula menyedari dirinya ditipu apabila pautan laman web itu tidak lagi boleh diakses dan nombor telefon individu yang dihubunginya juga tidak lagi aktif.
Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. -KOSMO! ONLINE