Windana menunjukkan antara kuih raya yang dihasilkan di premisnya di Kampung Baru, Kuala Lumpur baru-baru ini. – FAUZI BAHARUDIN

Tersibuk menjelang Syawal, hampir tiga dekad jual kuih raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TIDAK lengkap sambutan Hari Raya Aidilfitri jika kuih raya tidak dihidangkan kepada tetamu.

Kuih raya merupakan hidangan wajib yang ada di setiap rumah.

Malah, pengusaha kuih raya sebenarnya menjadi individu yang paling sibuk bagi memastikan orang ramai dapat membeli kuih raya untuk dihidangkan kepada tetamu semasa Syawal.

Pemilik Winda Cookies, Windana Bakri menjadi antara pengusaha yang sibuk menyiapkan tempahan kuih raya menjelang musim perayaan.

Menurutnya, rutin untuk menghasilkan kuih raya sudah menjadi sebahagian daripada kehidupannya sejak hampir tiga dekad lalu.

“Perniagaan membuat kuih raya ini bermula sejak tahun 1999.

“Kini, selepas hampir 27 tahun beroperasi, usaha kecil yang bermula secara sederhana itu terus berkembang dengan permintaan yang tidak pernah surut setiap kali tibanya musim perayaan,” katanya yang mengusahakan perniagaan tersebut di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Tempahan kuih raya biasanya akan meningkat dengan ketara menjelang Hari Raya Aidilfitri dan dia tidak putus menerima tempahan pelanggan.

Menurutnya, kira-kira 8,000 kuih raya dikeluarkan sempena Aidilfitri.

Malah, mereka tidak membuka jualan secara terbuka di hadapan rumah kerana bimbang stok tidak mencukupi.

Kebanyakan pelanggan yang datang adalah untuk mengambil tempahan yang telah dibuat lebih awal.

“Ketika musim perayaan, permintaan terhadap kuih raya sangat tinggi, Ramai juga peniaga kecil yang datang membeli kuih secara borong untuk dijual semula,” jelasnya.

Ini menjadikan perniagaan tersebut sebagai salah satu sumber bekalan kuih raya bagi peniaga lain.

Ketika musim perayaan, lebih 25 jenis kuih raya dihasilkan olehnya yang merangkumi kuih tradisional dan juga moden.

WINDANA bersama pekerjanya membakar kuih yang sudah sedia dibentuk.

Antara kuih raya yang sering mendapat permintaan adalah almond London, tart nanas, makmur dan suji.

Bagi memastikan tempahan dapat disiapkan tepat pada masanya, proses pembuatan kuih biasanya bermula kira-kira tiga bulan sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Dalam tempoh tersebut, seramai sembilan orang pekerja akan membantu Windana menghasilkan pelbagai jenis kuih bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Waktu kerja juga menjadi lebih panjang sepanjang musim ini.

Para pekerja akan juga akan memulakan kerja pada waktu pagi hingga petang, sebelum menyambung semula pada waktu malam bagi memastikan pengeluaran kuih berjalan lancar.

Selain itu, proses pembuatan kuih dilakukan secara bergilir mengikut jenis.

Contohnya, pada satu hari mereka akan menumpukan kepada penghasilan almond London, diikuti dengan tart nanas atau kuih lain pada hari berikutnya.

Dari segi harga pula, kuih seperti almond London dan tart nanas dijual pada harga RM25 sebalang, manakala kuih lain dijual RM22 sebalang.

Setiap balang biasanya mengandungi lebih kurang 50 biji kuih, manakala bagi bagi rempeyek pula, harganya adalah RM18 sebalang.

Walaupun permintaan tinggi, Windana mengakui terdapat cabaran yang perlu dihadapi, khususnya kenaikan harga bahan mentah.

“Harga barang memang naik, jadi kita terpaksa naikkan harga sedikit untuk tampung kos,” katanya.

Namun begitu, perkara yang paling menggembirakan adalah apabila semua kuih yang dihasilkan terus menjadi pilihan pengguna.

Baginya, kepuasan pelanggan dan sambutan yang baik diterima setiap tahun menjadi motivasi untuk terus menghasilkan kuih raya yang berkualiti pada harga berpatutan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN