fbpx
Sembilan delegasi Malaysia menyertai FFC x TMTG.

Freedom Flotilla: Delegasi Malaysia jalani pemeriksaan kesihatan sebelum pulang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Proses membawa pulang sembilan rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) melibatkan beberapa langkah penting termasuk pemeriksaan kesihatan dan penyediaan keperluan asas.

Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Sazali Mustafa Kamal berkata, setiap delegasi akan melalui pemeriksaan dan rawatan perubatan bagi memastikan keadaan kesihatan mereka benar-benar stabil selepas dibebaskan pihak berkuasa Israel.

“Selepas itu, urusan pentadbiran dan keperluan asas akan disediakan termasuk pakaian yang bersih serta bersesuaian.

“Sudah tentu perkara paling dinanti ialah makanan, memandangkan makanan yang diterima semasa dalam tahanan amat teruk sehingga ada yang tidak sanggup untuk menjamahnya,” katanya.

Menurut beliau, layanan yang diterima oleh sukarelawan amat menyedihkan dan tidak berperikemanusiaan.

“Saya secara peribadi berasa amat sedih apabila mendengar bagaimana mereka dilayan hampir seperti binatang, (itu) boleh saya katakan.

“Peranan kami sekarang adalah untyi memastikan mereka mendapat rawatan, pemakanan dan penjagaan sewajarnya bagi memulihkan fizikal serta emosi peserta,” ujarnya.

Terdahulu, Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) mengesahkan sembilan rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi berkenaan dibebaskan dan diterbangkan dari Israel melalui penerbangan Turkish Airlines TK6921.

Mereka tiba di Istanbul pada pukul 2.30 petang waktu tempatan (7.30 malam waktu Malaysia), dan kesemua aktivis dijangka pulang ke tanah air pada Ahad ini.

Semalam, sembilan kapal yang menyertai misi kemanusiaan FFC-TMTG disahkan ditunda dengan kesemua aktivis atas kapal termasuk sembilan rakyat Malaysia dipindahkan ke Penjara Ketziot di Negev, Israel.

Mereka ialah Profesor Emeritus Dr. Mohd. Alauddin Mohd. Ali, Dr. Fauziah Mohd. Hassan, Dr. Maziah Muhammad, Dr. Hafiz Sulaiman, Dr. Ili Syakira Mohd. Suhaimi, Dr. Mohd. Afandi Salleh, Dr. Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar dan wartawan, Syafik Shukri Abdul Jalil.

Mereka merupakan antara 145 aktivis antarabangsa yang ditahan tentera Israel selepas kapal konvoi kemanusiaan yang disertai mereka ditunda ke Pelabuhan Ashdod. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN