fbpx
RAKYAT tidak sabar untuk menunggu khabar gembira daripada pembentangan Belanjawan 2026 petang ini. - GAMBAR HIASAN

Apa kita dapat pukul 4 petang ini?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HARI ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan Belanjawan 2026. Seperti biasa, setiap lapisan masyarakat mengharapkan ada habuan untuk mereka.

Bila Belanjawan dibentangkan, biasanya B40 yang paling untung. Macam-macam bantuan mereka dapat dan seharusnya kita bersyukur di atas nikmat itu.

Namun, kehidupan kini sudah tentu tidak sama dengan yang dahulu. Walaupun kita dapat bantuan dengan mudah, ada satu masalah yang sering mengganggu kita iaitu ketenteraman hati.

Mari kita renungi bersama. Orang dahulu hidupnya sederhana. Rumah papan, dapur kayu, lantai beralas tikar mengkuang. Tidak ada penghawa dingin atau Netflix tetapi ada ketenangan.

Hari ini walaupun kita sudah berada di zaman moden, tinggal di rumah batu, tidur di tilam empuk dan duduk atas perabot cantik, kita perasan ramai masih mengadu tidak tenang lantaran hati sering resah dengan masalah.

Kadang-kadang kita tertanya kenapa orang dulu boleh bahagia walaupun hidup susah? Kenapa kita yang serba ada hari ini masih rasa kosong? Mungkin kerana mereka memiliki sesuatu yang kita hilang iaitu kelapangan hati.

Orang dahulu makan apa yang ada dengan rasa syukur, bukan dengan rasa kurang. Tiada istilah bosan atau patah selera. Melalui pembacaan atau cerita dari generasi ke generasi, kita tahu mereka ini jarang membanding hidup dengan orang lain. Tak kisah siapa kaya, siapa miskin, siapa ada kereta baharu.

Semuanya hidup berjiran dengan aman. Di situlah letaknya makna bahagia yang sebenar.

Hidup mereka penuh dengan gotong-royong. Bila ada kenduri, semua turun padang. Bila ada rumah nak dibina, jiran-jiran datang tolong.

Hari ini, semuanya diganti dengan tempahan. Kenduri guna katering, buat rumah panggil kontraktor dan lebih parah jiran pun kita tak tahu nama.

Orang dahulu hidup dengan doa. Setiap usaha dimulai dengan ‘Bismillah’, setiap rezeki disyukuri dengan ‘Alhamdulillah’. Bila gagal, mereka sabar. Bila senang, mereka bersyukur. Hidup mereka tenang kerana hati mereka dekat dengan Tuhan.

Rezeki mereka tak banyak, tapi cukup. Menoreh getah, menanam padi, menangkap ikan semuanya hasil peluh sendiri. Tapi kerana rezeki itu halal dan berkat, rumah mereka sentiasa dipenuhi senyum dan ketenangan.

Hari ini, rezeki datang cepat. Duit masuk dari pelbagai arah, tapi entah kenapa tak pernah cukup. Hutang bertambah, hati gundah. Barangkali kerana kita lebih banyak mengejar dunia, tapi kurang mencari keberkatan.

Bezanya bukan pada harta, tapi pada jiwa. Orang dahulu berjuang untuk hidup, kita pula berlumba untuk menunjuk.

Apapun, kita mungkin tak mampu kembali ke zaman itu, tapi kita boleh hidup dengan semangatnya yang sederhana, bersyukur dan saling membantu. Nilai itu tak lapuk ditelan zaman, cuma kita yang melupakannya.

Bahagia bukan pada banyaknya harta, tapi pada tenangnya hati yang tahu bersyukur. Bila hati reda, dunia yang sempit pun terasa luas.

Mungkin sudah tiba masanya kita belajar semula bahawa bahagia bukan dicari dalam kesenangan, tapi dalam keberkatan yang menenangkan jiwa. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN