fbpx
Spinnerbait DIY saya yang awal dengan versi dawai lengan bilah panjang.

DIY spinnerbait sebagai senjata memburu toman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Spinnerbait terbaik dilontarkan terus ke tengah-tengah kumpulan anak toman yang menimbul. Kemudian, ia dibiarkan tenggelam bebas, teknik ini dipanggil helicoptering.

Jika induk anak-anak toman itu mahu menyerang, ia biasanya akan menyambar spinnerbait ketika sedang tenggelam. Jarang sekali ia menyambar ketika spinnerbait dikarau naik.

DIY spinnerbait
Saya telah membuat spinnerbait sendiri selama lebih 20 tahun. Pada mulanya, saya membuatnya kerana ia lebih murah berbanding yang siap dijual di kedai.

Sering kali, spinnerbait di kedai tidak menepati reka bentuk yang saya mahu gunakan.

Dengan pengalaman dan ­pengetahuan yang semakin mendalam, saya mula menyesuaikan rekaan spinnerbait mengikut kesukaan saya.

Apabila saya mula memancing toman di Empangan Kelau, spinnerbait yang saya ada tetap berkesan untuk toman.

Disebabkan sudah biasa mengubah suai spinnerbait, saya dapat menghasilkan rekaan sendiri yang lebih baik.

Lontaran gewang menjadi lebih jauh hingga sampai ke zon serangan toman dan berkesan untuk mencangkuk mulut toman berbanding rekaan generik.

Ciri-ciri spinnerbait
Spinnerbait seharusnya berat untuk lontaran jauh, tepat serta dapat tenggelam dengan pantas ke perimeter toman berada.

Kebiasaannya, saya gemar menggunakan jighead spinnerbait seberat 28 gram (g) atau 1-ounce (1oz) atau 21g (3/4oz).

Bagi bilah besi (blade) spinnerbait, saya lebih gemar menggunakan satu sahaja, dan saiznya bergantung pada tahap rintangan udara ketika dilontar.

Bilah saiz besar bakal menambah rintangan angin, manakala bilah saiz kecil pula membolehkan lontaran lebih jauh.

Apabila spinnerbait sedang tenggelam, rintangan air pula mempengaruhi kadar kepantasan ia tenggelam.

Biasanya, saya mahu spinnerbait tenggelam dengan cepat sebelum toman bergerak ke tempat lain. Oleh itu, bilah besi tunggal yang kecil akan saya gunakan.

Pelbagai jenis bilah spinnerbait ada di pasaran, misalnya bilah berbentuk panjang seperti jenis willow leaf mempunyai rintangan rendah.

Bilah jenis Colorado pula lebih bulat dan menghasilkan getaran kuat.

Manakala bilah jenis Indiana pula mempunyai ciri-ciri pertengahan campuran antara bilah jenis willow leaf dan Colorado.

Kesimpulannya, jenis bilah, berat jighead dan ketebalan skirt memainkan peranan untuk rintangan angin serta air.

Selain itu, ia menghasilkan getaran dan biasan kilauan cahaya matahari pada bilah ketika tenggelam ke dasar.

Warna spinnerbait bagi saya tidak begitu kritikal, sebab itu saya bebas memilih warna jighead, skirt dan bilah besi tanpa mengkhususkan peranannya.

Toman yang digoda dengan spinnerbait lengan bilah pendek.

Dawai dan mata kail
Ada juga spinnerbait yang dibuat dengan dawai dan mata kail yang sangat tebal. Saya dapati ini mengurangkan jarak lontaran serta kadar kelajuan ia tenggelam. Saya lebih suka elakkan penggunaan dawai dan mata kail yang terlalu tebal.

Mata kail perlu seimbang antara kekuatan dan kuasa penembusannya.

Mata kail terlalu nipis mungkin mudah menjadi lurus apabila dikekah toman, manakala yang terlalu tebal pula sukar pula menembusi mulut toman hingga menyebabkan ia mudah terlucut.

Saya juga biasanya membuang duri mata pandan di mata kail agar ia mudah menembusi mulut toman sepenuhnya.

Mata kail yang benar-benar menembusi mulut ikan toman jarang sekali terlucut, walaupun duri mata pandan telah dibuang. Paling penting, pastikan tali sentiasa tegang semasa bertarung dengan toman.

Saranan tekong-tekong Kelau
Ketika mula memancing di Kelau, tekong-tekong di sana memberi tip untuk meningkatkan kadar cangkukkan mata kail spinnerbait iaitu dengan memendekkan lengan dawai bilah.

Menurut mereka, ada dua faktor, pertama ia meningkatkan pendedahan mata kail tanpa mengganggu gigitan toman.

Kedua, kadang-kadang toman akan menyambar bilah dahulu, lalu mata kail boleh tercangkuk di bawah mulutnya. Jika lengan bilah terlalu panjang, ia gagal mencangkuk dengan baik.

Rumusannya, saya dapati dengan spinnerbait versi lengan bilah yang pendek, lebih banyak hook-up berlaku di dalam mulut. Ini menunjukkan bahawa toman lebih kerap menyerang jighead atau skirt spinerbait.

Apabila ia lebih praktikal, saya terus mengubah suai spinnerbait saya mengikut nasihat mereka.

Saya buat spinnerbait baru untuk toman dengan lengan bilah yang pendek.

Kelemahan rekaan ini adalah perlindungan pada mata kail (weedless). Jadi, ada risiko ia mudah tersangkut pada kayu atau struktur di dasar.

Namun, masalah ini hanya perkara kecil bagi saya. Paling penting saya dapat meningkatkan peratusan hook-up pada induk toman.

Sedikit perubahan sahaja sudah menghasilkan keputusan pancingan yang lebih baik.

Inilah ciri-ciri bonus untuk membuat spinnerbait DIY tenggelam bebas (helicoptering) kepada induk toman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN