fbpx
Zaliha ketika dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, di Parlimen hari ini. Foto JAPEN.

‘Ada kes satu tanah lot dimiliki 256 pemilik’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pembangunan semula tanah rizab Melayu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berdepan cabaran kompleks, terutama melibatkan tanah pusaka yang dimiliki beramai-ramai dan diwarisi turun-temurun sejak generasi terdahulu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata ini menyebabkan sebahagian besar tanah rizab Melayu dimiliki oleh puluhan hingga ratusan individu berdaftar sebagai pemilik bersama.

“Dalam sesetengah kes, satu lot tanah berkeluasan hanya 8,700 kaki persegi direkodkan mempunyai sehingga 256 pemilik berdaftar.

“Situasi ini menjadikan proses mendapatkan persetujuan pembangunan amat sukar dilaksanakan,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Zaliha berkata, sekiranya hanya seorang pemilik tidak bersetuju dengan cadangan pembangunan, ia sudah cukup untuk menggagalkan keseluruhan urus niaga atau projek yang dicadangkan.

“Hal ini menyebabkan banyak rancangan pembangunan tanah rizab Melayu tertangguh dan tidak dapat diteruskan,” katanya.

Zaliha berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) yang meminta kementerian menyatakan mengapa pembangunan tanah rizab Melayu di Kuala Lumpur seperti Kampong Bharu menghadapi cabaran yang ketara.

Selain itu, Azman turut mempersoalkan sejauh mana faktor-faktor seperti pemilikan tanah yang bertindih dan nilai pasaran yang terhad menyumbang kepada isu ini.

Selain itu, tambah Zaliha nilai pasaran masa hadapan bagi tanah rizab Melayu dianggap terhad kerana wujudnya sekatan kepentingan yang melarang pindah milik kepada bukan Melayu.

Jelasnya, sekatan ini secara langsung membataskan minat pelabur dan permintaan pasaran terhadap unit hartanah yang dibangunkan.

Beliau turut menjelaskan bahawa walaupun kebanyakan tanah rizab Melayu terletak di lokasi strategik, seperti di kawasan Sungai Penchala, kos pembangunannya sangat tinggi.

“Faktor ini turut menjadi halangan kepada pelabur yang ingin memajukan kawasan tersebut.

“Cabaran lain yang turut diberi perhatian ialah usaha menyeimbangkan pembangunan fizikal dengan pemeliharaan nilai warisan budaya.

“Kampung tradisi Melayu yang kaya dengan sejarah, adat dan identiti komuniti setempat perlu dikekalkan supaya pembangunan tidak menghakis nilai asal masyarakat Melayu bandar,” katanya.

Zaliha menegaskan bahawa pembangunan tanah rizab Melayu di Kuala Lumpur perlu dilaksanakan secara lestari dan inklusif.

Katanya, pendekatan yang diambil mestilah menyeluruh serta sensitif terhadap aspek budaya, ekonomi dan undang-undang.

Selain itu, beliau berkata pelaksanaannya perlu dilakukan dengan melibatkan semua pihak berkepentingan secara telus dan berterusan.

Pendekatan sebegini penting bagi memastikan keseimbangan antara kemajuan fizikal dan pemeliharaan warisan bangsa dapat dicapai demi kepentingan masyarakat Melayu keseluruhannya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI