“SAYA sanggup hilang gaji saya berpuluh ribu, untuk berhenti bermain bola, asalkan saya selamat, keluarga saya selamat!
Masih terngiang ungkapan pernah keluar daripada mulut bintang sensasi Selangor FC, Faisal Halim ketika muncul kali pertama di khalayak ramai selepas tragedi hitam menimpa dirinya ekoran disimbah asid yang hampir meragut karier dan masa depan.
Kalau diikutkan hati, cukuplah untuk bercakap tentang Faisal, tetapi naluri penggemar bola sepak tetap mahu berbicara khususnya selepas melihat apa dijelmakan pemain bertubuh kecil ini.
Antara perkara yang bermain di fikiran ramai orang ketika itu pastinya menjurus kepada kehilangan sebutir pertama dan pasti ramai beranggapan karier Faisal tidak lagi akan menyinar.
Tahun demi tahun, andaian itu nyata meleset kerana Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey memilih untuk tidak tunduk kepada takdir kelam.
Disebalik keraian yang bergema di stadium setiap kali Mickey menjaringkan gol, pastinya akan terselit plot air mata dan keberanian luar biasa untuk keluar daripada trauma.
Rawatan demi rawatan terpaksa dilalui, kesakitan bukan sekadar fizikal tetapi juga emosi dan ujian besar menimpa dirinya pasti tidak akan pernah padam dalam ingatan Mickey.
Jauh di sudut hatinya, ‘api kecil’ cintakan bola sepak masih menyala dan ceritanya tidak sekadar tentang perjuangan untuk kembali menggegar arena bola sepak tempatan serta impian mewakili negara.
“Saya rasa Mickey lebih matang, tabah dan kuat di atas mahu pun di luar padang. Banyak lagi boleh dia tunjukkan dan mampu jadi lebih baik.
“Kami tidak pernah persoalkan semangat juangnya kerana kita sendiri lihat dia tidak pernah sehari pun menurunkan prestasinya. Dia begitu dahagakan prestasi dan selepas kerja keras selama setahun susulan insiden itu, dia berada pada landasan kukuh untuk jadi pemain lebih baik.
“Kita teruja dengan apa yang ditunjukkan. Ini sangat memberi inspirasi bukan sahaja kepada pasukan tetapi semua penyokong dan juga bola sepak Malaysia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Dr. Johan Kamal Hamidon.
Di pentas lebih luas, tidak adil juga jika perhatian hanya tertumpu kepada Mickey kerana Malaysia masih ada ramai pemain berkelas antarabangsa lain seperti Arif Aiman Hanapi yang berada dalam tiga calon akhir Pemain Terbaik Asia bersama Akram Afif dari Qatar dan bintang Arab Saudi, Salem Al-Dawsari.
Kisah kebangkitan Mickey tidak lagi sekadar cerita sukan tetapi kisah kebangkitan jiwa yang tidak pernah menyerah, manakala Arif Aiman Hanapi memilih membina naratif tersendiri.
Dalam suasana negara dihimpit kontroversi pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan, cerita dua wira bola sepak ini menjadi penawar yang menyatukan rakyat tanpa mengira latar belakang.
Mereka mengingatkan kita di sebalik cabaran dan kekhilafan yang berlaku, Malaysia masih mampu mencoret cerita luar biasa dan tetap boleh melahirkan insan berintegriti, berdisiplin dan berkelas dunia.
Jika Mickey dengan semangat kebangkitan, Arif pula dengan konsisten cipta kecemerlangan sekali gus kedua-duanya menjadi lambang bahawa harapan sentiasa ada tetapi ceritanya hanya menanti masa tepat untuk diterbitkan. -KOSMO! ONLINE














