PETALING JAYA – Konvensyen Pembaharuan Semula Bandar menggesa kerajaan mengangguhkan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pembangunan Semula Bandar (PSB) sehingga ia digubal semula dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk pemilik hartanah.
Ketua Pasukan Khas UMNO untuk penambahbaikan RUU PSB, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pihaknya mengusulkan tiga resolusi berkait RUU tersebut dengan menuntut ia tidak terus dibentangkan serta mengambil kira pandangan, cadangan dan pendapat bagi menjaga kepentingan pemilik dan masyarakat secara spesifik.
“Cadangan ini dibuat kerana konvensyen berpandangan bahawa draf RUU PSB yang dibentangkan mengandungi terlalu banyak kelompongan dan peruntukan tidak meyakinkan.
“Ia gagal menangani kegusaran utama pemilik hartanah dan tidak memberikan jaminan perlindungan yang secukupnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru katanya, Konvensyen mengesyorkan agar kerajaan mempertimbangkan 14 cadangan khusus bagi menutup kelompongan dan kelemahan akta berkenaan.
Antara 14 cadangan itu ialah tanggungjawab kerajaan memastikan kredibiliti pemaju, pampasan adil dan menyeluruh, penetapan nilai tambang persetujuan untuk pembangunan semula, tindakan kerajaan untuk menyelamatkan projek terbengkalai dan bangunan tidak selamat serta pihak berkepentingan mesti dimasukkan penyewa dan pemilik yang masih berhutang.
Johari berkata, Konvensyen Pembaharuan Semula Bandar menerusi resolusi kedua menggesa kajian semula menyeluruh dan pindaan bersepadu terhadap akta-akta sedia ada, sementara menunggu RUU PSB digubal semula.
“Konvensyen menggesa kerajaan untuk tidak terburu-buru dan sebaliknya melaksanakan satu kajian semula yang holistik dan seterusnya meminda beberapa
akta utama secara bersepadu.
“Pindaan ini adalah untuk memastikan matlamat pembaharuan semula bandar tercapai dan tidak bertindih dengan 10 akta-akta sedia ada,” katanya.
Akta tersebut ialah Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486), Kanun Tanah Negara 1965 (Akta 56/1965), Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172), Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982 (Akta 267), Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) dan Akta Hakmilik Strata 1985 (Akta 318).
Seterusnya, Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (G.N. 5178/1985 di bawah Akta 133) dan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).
Beliau berkata, resolusi ketiga ialah mengusulkan penubuhan pihak berkuasa pembangunan semula bandar iaitu sebuah agensi kerajaan untuk mengawal selia sebarang usaha perancangan pembangunan semula bandar, penjanaan semula bandar dan penyenggaraan semula bandar.
“Ini bagi memastikan kelancaran sesuatu pembangunan semula dan menyelesaikan pertikaian di antara penduduk, pemilik dan pemaju,” katanya. – KOSMO! ONLINE