fbpx
Tangkap layar kriteria sukarelawan yang ingin menyertai GSF.

Sumud Flotilla: Semakin ramai mahu daftar jadi sukarelawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla yang disertai aktivis dan sukarelawan di seluruh dunia termasuk Malaysia, membuka mata rakyat negara ini untuk menyertai konvoi tersebut.

Tinjauan di media sosial mendapati, ada pengguna media sosial telah mendaftar untuk menyertai misi berkenaan menerusi laman web Global Movement to Gaza.

Seorang pengguna Thread dikenali sebagai Kojieyama memaklumkan, dia cuba memohon untuk menjadi sukarelawan selepas terkesan dengan perkongsian peserta Global Sumud Flotilla, Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali sebagai Haroqs.

“Aku hantar permohonan untuk menyertai Global Sumud, aku tak tahu apa selepas ini, apa fasa seterusnya. Aku serahkan kepada Allah sahaja untuk mudahkan.

“Dia sahaja yang akan tentukan arah tuju. Jika dimudahkan aku pergi, maka aku pergi. Aku memang terkesan sangat dengan perkongsian Haroqs,” katanya.

Menjawab pertanyaan pengguna media sosial, Kojieyama memberitahu, antara pengalaman yang ditulis pada borang tersebut ialah pernah bekerja bersama komuniti sasaran khususnya kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU).

“Saya sukarelawan aktif bersama anak-anak yatim dan kurang bernasib baik, yang mana ia membantu menguatkan kemahiran terhadap empati, komunikasi dan program fasiliti,” katanya yang juga merupakan ahli lembaga pelawat sebuah rumah kebajikan.

Seorang pengguna Thread dikenali sebagai Turis Sesat turut memaklumkan dia telah mendaftar bagi sukarelawan misi tersebut.

“Saya dah daftar untuk turut serta dalam Sumud Flotilla akan datang. Doakan saya terpilih,” katanya.

Ia turut mendapat maklum balas seorang lagi pengguna Thread Manoftheworld00 yang memberitahu telah mendaftar misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla.

“Selesai daftar, doakan terpilih,” katanya pada ruangan komen.

Antara kriteria bagi misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla ialah kepakaran dalam bidang seperti kejuruteraan atau kejuruteraan marin, baik pulih kapal, pendawaian elektrik, pelayaran antarabangsa (kapten dan kru), undang-undang antarabangsa (peguam), perubatan (doktor atau jururawat) serta rawatan kecemasan.

Selain itu, kaunseling dan pikologi, bahasa (Inggeris atau Arab atau Ibrani), tindak balas kecemasan (emergency response) serta teknologi atau teknologi maklumat.

Peserta perlu mempunyai pasport, berkemahiran berenang atau menyelam, pendapatan atau sumber kewangan yang kukuh selain biaya sepanjang pelayaran kira-kira RM30,000 hingga RM40,000 (tiket kapal terbang, makan, penginapan, khidmat guaman, dana kecemasan dan lain-lain). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI