LONDON – Daripada pasukan bergelut di zon penyingkiran setahun lalu, Crystal Palace kini menjelma sebagai kuasa baharu bola sepak Inggeris selepas mencatat 19 perlawanan tanpa kalah sekali gus memecah rekod kelab yang bertahan sejak 1969.
Rekod bersejarah itu hadir ketika The Eagles meraikan kemenangan pertama di pentas Eropah dengan menundukkan Dynamo Kiev dalam saingan Liga Konferens Eropah berlangsung di gelanggang neutral di Lublin Arena, Poland awal pagi tadi.
Jaringan Daniel Munoz dan Eddie Nketiah memastikan kemenangan 2-0 meskipun Palace terpaksa beraksi dengan 10 orang selepas Borna Sosa dibuang padang.
Skuad kendalian Oliver Glasner kini menghuni tangga ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL), menjadi satu-satunya pasukan belum tewas musim ini hasil tiga kemenangan dan tiga seri termasuk menamatkan rekod sempurna Liverpool hujung minggu lalu.
“Pemain sangat dahagakan kejayaan, penuh cita-cita dan fokus tinggi. Kami hormati Dynamo Kiev tetapi memulakan kempen Eropah dengan tiga mata sangat positif. Setiap perlawanan penting dan kami mahu terus konsisten,” kata Glasner.
Kali terakhir Palace tewas pada 16 April lalu ketika dibelasah 0-5 oleh Newcastle United, namun sejak itu mereka mencipta rentetan luar biasa dengan dua kemenangan dan satu seri menentang Liverpool, selain menjulang Piala FA selepas menumbangkan Manchester City.
“19 perlawanan tanpa kalah, itu benar-benar menakjubkan. Kemenangan pertama di Eropah menjadikannya lebih istimewa. Pasukan ini sedang melangkah ke tahap lebih tinggi,” kata bekas bintang England, Owen Hargreaves.
Catatan 19 perlawanan tanpa kalah itu juga jauh mengatasi Bayern Munich yang sekadar memiliki sembilan aksi tanpa kalah di Bundesliga dan Palace kini muncul antara pasukan dengan prestasi paling terbaik di Eropah. – AGENSI














