JAKARTA – Seorang wanita di wilayah Aceh, Indonesia mengundang perhatian orang ramai apabila dirakam menunggang motosikal dengan hanya memakai baju dalam, lapor portal berita Bithe semalam.
Kejadian dirakam di hadapan Pejabat Gabenor Aceh, Banda Aceh.
Rakaman video dimuat naik di media sosial menunjukkan wanita terbabit santai menunggang motosikal miliknya sambil memakai topi keledar.
Pengguna jalan raya bagaimanapun terkejut apabila dia hanya memakai baju dalam.
Rakaman itu menjadi tular dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Ini melanggar syariat dan mengganggu ketenteraman. Kami berharap pihak berkaitan segera mengambil tindakan,” kata seorang netizen.
“Ini Banda Aceh, bukan Los Angeles,” kata pengguna media sosial lain.
Aceh merupakan satu-satunya wilayah di Indonesia yang mengamalkan undang-undang syariah. – AGENSI