REMBAU – Sepasang suami isteri longlai dan terpaksa dipapah ahli keluarga serta kenalan di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau, di sini, sepanjang proses bedah siasat anak lelaki mereka yang ditemukan tidak sedarkan diri di dalam tandas sebuah sekolah rendah di Senawang, Seremban semalam.
Proses bedah siasat jasad kanak-kanak lelaki itu selesai selepas kira-kira tiga jam prosedur itu dijalankan bermula pukul 2 petang.
Pengurusan jenazah kanak-kanak berusia 10 tahun itu termasuk memandikan dan mengkafankan diuruskan oleh badan bukan kerajaan (NGO), Skuad Amal Rembau seawal pukul 5.30 petang.
Difahamkan, jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Forest Height, Senawang, selepas solat maghrib.
Sementara itu, seorang ahli keluarga yang tidak ingin dikenali berkata, keluarga belum sedia untuk ditemubual berikutan masih bersedih serta menyerahkan kepada pihak polis berhubung siasatan kes kematian murid tersebut.
Terdahulu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, siasatan secara menyeluruh dilaksanakan untuk menentukan sama ada wujud atau tidak sebarang unsur buli dan kes disiasat di bawah Seksyen 507 C Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE