fbpx
FATHY pernah menjadi pelajar termuda yang mendaftar masuk ke UTP iaitu pada usia 16 tahun.

Dahulu pelajar UTP termuda, kini pengasas syarikat AI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BEBERAPA tahun lalu, nama Muhammad Fathy Rashad terpampang di dada-dada akhbar kerana kejayaannya bergelar pelajar paling muda yang mendaftar masuk ke Universiti Teknologi Petronas (UTP) iaitu ketika berusia 16 tahun.

Didorong rasa ingin tahu dan meneroka peluang belajar dalam industri Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), remaja yang mesra disapa Fathy itu sanggup belajar sendiri untuk menduduki ujian International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) ketika berusia 14 tahun.

Lebih setahun kemudian, Fathy bergelar pelajar asasi di UTP dan berjaya menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan komputer.

Pada usia 20 tahun, Fathy sekali lagi merekodkan pencapaian yang cukup membanggakan apabila menjadi penerbit bersama bagi satu kertas kerja bertaraf antarabangsa.

Kertas kerja bertajuk CreativeGAN: Editing Generative Adversarial Network for Creative Design Synthesis itu dilakukan bersama Prof. Faez Ahmad daripada Massachusetts

Institute of Technology (MIT) yang dibentangkan pada Persidangan Antarabangsa Kejuruteraan Reka Bentuk dan Persidangan Komputer dan Teknologi Maklumat dalam Kejuruteraan (IDETC-CIE 2021).

Kini pada usia 24 tahun, ketika rakan seusianya baru menamatkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda dan mula memasuki bidang pekerjaan, Fathy sudah bergelar pengasas syarikat kecerdasan buatan miliknya, Cleve AI.

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu memberitahu, semuanya bermula sewaktu berusia 13 tahun, apabila dia sering tertidur dalam kelas kerana mudah berasa bosan dengan subjek dipelajari di sekolah.

“Biarpun sering mendapat markah tinggi dalam mata pelajaran di sekolah selama beberapa tahun berturut-turut, namun saya akui mudah berasa bosan dan sentiasa mahukan ‘lebih’ dalam pelajaran.

“Ibu kemudian cuba mencari sekolah atau program yang boleh ‘mempercepat’ proses pembelajaran saya, namun gagal.

“Kemudian, ibu diberitahu bahawa pelajar seawal usia 11 tahun sudah boleh menduduki peperiksaan IGCSE sebagai persediaan mendapat tempat ke universiti. Pada masa sama, saya masih meneruskan persekolahan seperti biasa,” ujarnya kepada K-Remaja baru-baru ini.

Menurut Fathy, sekiranya gagal dalam Ujian IGCSE, dia masih boleh meneruskan pembelajaran sama seperti remaja lain.

“Jika cemerlang dalam ujian IGCSE, saya boleh masuk ke universiti dengan lebih pantas. Ketika itu, saya melihat kehidupan sebagai pelajar universiti lebih ideal buat saya.

“Hal ini kerana universiti berbeza dengan sekolah, jadi saya lebih bebas memilih subjek sendiri dan banyak peluang untuk belajar,” katanya.

Biarpun kedengaran gah dan hebat, namun Fathy mengakui berdepan cabaran kerana waktu siangnya masih dihabiskan dengan bersekolah.

Sementara sebelah malam, dia mengulang kaji pelajaran untuk IGCSE serta menonton video-video YouTube bagi menambah kefahaman.

Mengakui tidak begitu yakin dengan kebolehan diri, Fathy terkejut apabila berjaya lulus pada usia 14 tahun, hanya dengan belajar sendiri selama enam bulan.

Fathy banyak menghabiskan masa terluangnya dengan membaca.

“Ternyata, kemampuan saya ketika itu melangkaui tahap yang saya fikirkan.

“Namun, saya tidak fikir saya seorang genius kerana rasa ramai lagi yang boleh melakukan perkara sama.

“Kejayaan itu membolehkan saya ada kebebasan untuk belajar dalam pace sendiri, dan subjek yang saya mahu belajar,” katanya.

Ujar Fathy, perkara unik yang diperoleh daripada memasuki universiti lebih awal adalah kesedaran bahawa dia mampu melakukan apa sahaja tanpa menghadkan diri kepada jangkaan masa.

“Jika orang lain fikir sesuatu perkara itu mengambil masa bertahun-tahun untuk dilakukan, saya pula berfikir mungkin boleh melakukannya dalam beberapa bulan.

“Kadangkala, saya terkejut dengan diri sendiri kerana berjaya melakukannya,” kongsinya tentang pengajaran terbesar bergelar pelajar universiti pada usia muda.

Sementara itu, menyandang jawatan sebagai pengasas sebuah syarikat sendiri, Fathy berkata, cabaran terbesarnya adalah kekurangan pengetahuan untuk menguruskan perniagaan.

“Memandangkan sebelum ini saya belum pernah bekerja atau mempunyai pengalaman bekerja sebenar, maka ada banyak perkara yang saya perlu belajar sendiri sambil menguruskan perniagaan.

“Selain itu, saya berdepan cabaran daripada kemahiran komunikasi memandangkan saya merupakan seorang yang introvert (pendiam).

“Dalam bisnes, kemahiran ini amat diperlukan kerana saya perlu berkomunikasi dengan pelanggan, pengasas bersama, pekerja dan pelabur.

“Sehingga kini, ia menjadi satu perkara yang saya perlu sentiasa paksa diri untuk lakukan untuk atasi ketakutan saya,” katanya.

Ujar Fathy, idea teras Cleve AI adalah untuk membantu orang ramai mencipta kandungan dan membina jenama peribadi mereka.

“Saya begitu bersemangat tentang idea ini kerana kandungan dan pembinaan jenama telah mengubah hidup saya.

“Saya mendapat peluang menerbitkan MIT kerana kandungan blog saya. Blog saya juga membawa pelanggan dari seluruh dunia.

“Malah, pendapatannya sangat lumayan sehingga saya mampu menjana ribuan ringgit sebulan ketika masih di berada universiti.

“Ketika menamatkan pengajian, saya memperoleh RM12,000 sebulan pada usia 21 tahun.

“Disebabkan itu, saya memutuskan untuk terus bekerja secara bebas dengan pelanggan daripada blog saya.

“Ia jauh lebih menguntungkan berbanding pekerjaan yang boleh saya perolehi di Malaysia,” katanya.

Sebagai pengasas muda, hari Fathy banyak diisi dengan aktiviti membaca.

Dia juga banyak berkongsi tentang perjalanan hidupnya menerusi media sosial untuk memberi inspirasi kepada anak muda yang mungkin mahu mengikut jejak langkahnya.

“Jika bercerita tentang jadual harian saya sebagai seorang usahawan pada usia ini, saya biasanya akan bangun antara pukul 6 pagi, makan oat untuk sarapan dan bersenam atau pergi berenang sebelum mula bekerja pada pukul 10 pagi.

“Sebelah malam pula dihabiskan dengan memasak dan membaca kindle (peranti membaca elektronik) sehingga saya tertidur,” katanya.

Berkongsi pesanan buat anak muda yang mungkin mahu mengikut jejak langkahnya, Fathy menasihatkan mereka agar sentiasa bersikap proaktif, dan bukannya pasif.

“Selalunya, tiada istilah ‘masa terbaik’ atau ‘peluang terbaik’. Anda perlu cipta peluang anda sendiri atau mulakan apa yang anda mahu buat, biarpun ketika anda belum bersedia.

“Masa terbaik itu jarang datang, namun anda boleh jadikan masa terbaik dengan hanya memulakan langkah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN