PETALING JAYA – Dengan pelaksanaan rasmi inisiatif Budi Madani RON95 (Budi95) hari ini, pengusaha stesen minyak menjangkakan kehadiran pelanggan dalam jumlah yang dijangka lebih tinggi daripada biasa.
Pemilik sebuah stesen di Selangor, Hassan Salleh, berkata, pihaknya menjangkakan sambutan amat positif khususnya pada waktu puncak seperti pagi sebelum masuk bekerja, waktu rehat tengah hari dan selepas tamat waktu pejabat.
Beliau berkata, pada waktu tersebut orang ramai mula ingin mencuba serta menyemak kelayakan mereka untuk menggunakan petrol tersebut.
“Kami menjangkakan sambutan yang amat positif daripada para pelanggan. Kehadiran mereka bukan sahaja untuk mengisi minyak tetapi juga untuk menilai sendiri keberkesanan Budi95.
“Ini sekali gus mencerminkan minat pelanggan terhadap inisiatif yang dilihat lebih dekat dengan keperluan rakyat,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, semalam.
Bagi memastikan kelancaran operasi, Hassan berkata, pihak stesen telah merangka beberapa langkah khusus bagi mengelakkan kesesakan.
“Semua pam minyak akan dibuka sepenuhnya agar pelanggan dapat dilayan dengan lebih cepat, selain laluan kenderaan akan disusun dengan teratur.
“Kru juga ditempatkan di kawasan pam (forecourt) untuk memberi bantuan secara terus kepada pelanggan”, katanya.
Beliau berkata, bantuan ini termasuklah panduan penggunaan pam serta aplikasi berkaitan, agar pelanggan tidak berdepan sebarang kekeliruan ketika mengisi minyak.
Selain itu, Hassan berkata, sebuah kaunter informasi khas turut disediakan di hadapan kedai serbaneka stesen.
“Kaunter ini membolehkan pelanggan mendapatkan maklumat dan penjelasan berhubung Budi95 tanpa perlu beratur panjang di kaunter utama. Langkah ini diambil untuk mempercepatkan urusan dan mengurangkan kesesakan,” katanya.
Hassan menambah, penyusunan jadual kerja kru dibuat secara teliti bagi memastikan tenaga kerja mencukupi sepanjang masa, terutamanya pada waktu puncak yang dijangka lebih sesak berbanding biasa.
“Kami mahu keselesaan pelanggan sentiasa terjamin. Semua persediaan ini adalah bagi mengurangkan kesesakan di stesen serta memastikan pengalaman yang lebih baik untuk semua,” katanya lagi.
Dari sudut persediaan petugas, beliau menjelaskan bahawa semua kru telah menjalani sesi penerangan dan latihan berkaitan Budi95 sejak seminggu lalu.
“Mereka dibekalkan dengan maklumat terperinci agar mampu memainkan peranan masing-masing dengan berkesan,” katanya.
Selain itu, Hassan berkata, pelanggan turut digalakkan menggunakan aplikasi Setel bagi memastikan proses pengesahan elektronik Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital, semakan kelayakan dan pengisian minyak boleh dilakukan terus secara digital.
“Ini sekali gus menjadikan pengalaman pelanggan lebih mudah dan pantas.
“Dengan persediaan ini, kami yakin pasukan kami mampu memberikan pengalaman yang lancar, selesa, dan memuaskan kepada semua pelanggan yang hadir esok,” katanya. – KOSMO! ONLINE