PETALING JAYA – Sebanyak RM43.7 juta pembelian direkodkan bagi 21.8 juta liter petrol RON95 menerusi inisiatif Budi Madani RON95 (Budi95) setakat semalam.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, ia melibatkan hampir 912,000 penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Alhamdulillah, dari segi pelaksanaan sistem Budi95 kekal stabil pada kedua-dua hari tersebut. Malah, pengesahan MyKad di stesen minyak juga lancar,” katanya semasa taklimat harian Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.
Inisiatif Budi95 dengan harga petrol RON95 RM1.99 seliter bermula pada 27 September lalu melibatkan kira-kira 300,000 anggota ATM dan PDRM.
Seramai lima juta penerima STR menikmati manfaat sama pada keesokan harinya sebelum diperluaskan kepada 16 juta rakyat Malaysia yang layak bermula hari ini.
Tunku Nashrul berkata, kerajaan menetapkan harga runcit RON95 tanpa subsidi RM2.60 seliter untuk Oktober bagaimanapun penerima Budi95 menikmati bahan bakar itu pada harga RM1.99 seliter.
“Ini bermakna, kerajaan memberi subsidi sebanyak 61sen seliter menerusi insiatif Budi95. Berdasarkan had kelayakan 300 liter, setiap individu menerima manfaat sebanyak RM183 sebulan,” katanya.
Tambahnya, langkah itu membuktikan keprihatinan Kerajaan Madani dalam mengotakan janji untuk melindungi rakyat dan memastikan mereka menikmati petrol RON95, ditambah dengan penjimatan bagi meringankan beban rakyat. – KOSMO! ONLINE