fbpx
MENJADI antara delegasi dalam misi banrtuan kemanusiaan ke Gaza, Zizi Kirana kini hanya berserah kepada Allah SWT.

‘Kami menuju ke Gaza, lindungilah kami Ya Allah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Dijangka tiba di perairan Gaza sehari lagi, penyanyi Zizi Kirana hanya menyerahkan nasib mereka sebelum konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) memasuki kawasan berisiko zon kuning kepada ketentuan Allah.

Zizi atau nama lengkapnya, Nur Fazelah Mad Tahil, 40, berkata semua sukarelawan termasuk delegasi Malaysia yang menyertai misi memecahkan sekatan rejim Israel terhadap Palestin itu menyedari situasi genting bakal dihadapi serta berisiko dipintas Israel.

“Saya tak tahu apa akan jadi (lepas memasuki zon kuning), sebab sebelum masuk zon bahaya ini pun dah berlaku lebih 10 serangan dron yang kita tidak jangka.

“Segala-galanya kita serah pada Allah, kita hanya merancang tetapi Allah SWT perancangan-Nya Maha Hebat,” katanya dalam hantaran di Instagram.

Pada masa sama, isteri kepada pelakon Yusuf Bahrin itu berdoa agar perjalanan konvoi membabitkan lebih 50 kapal layar dan bot dari 45 negara itu dipermudahkan.

“Ya Rabb, kami sedang menuju ke Gaza. Jagalah dan lindungilah kami. Kami tak punya siapa-siapa tempat bergantung selain Engkau, Ya Allah,” ujarnya yang turut memuatnaik keadaan dalam kapal dinaikinya.

Menurut penganjur, Flotila bantuan antarabangsa kini kurang 399 batu nautika dari Semenanjung Gaza dan dijangka tiba di wilayah itu esok.

Konvoi yang terdiri daripada kira-kira 50 kapal, berlayar awal bulan ini bagi menghantar bantuan kemanusiaan, khususnya bekalan perubatan ke Semenanjung Gaza.

Menurut rakaman video yang dikongsi seorang aktivis Turkiye di atas kapal, sebuah kapal tentera laut Greece berundur selepas mengiringi konvoi itu di perairan antarabangsa.

Begitupun, tentera laut Itali dan Sepanyol terus memberikan perlindungan kepada aktivis di atas kapal.

Sementara itu, seorang peserta GSF,
Musa Nuwayri menggambarkan Zizi sebagai kakak buat mereka yang berada dalam perjuangan misi tersebut kerana sentiasa mengambil berat kebajikan setiap sukarelawan.

“Dia yang paling cakna dengan semua ahli misi. Apa-apa, dialah yang akan mesej saya. Dia itu tak okey, tolong tanyakan khabar. Dia tak sihat, tolong ‘adjust’ doktor.

“Terima kasih Zizi sebab ajar kami mengenai kasih sayang yang tidak pernah berkira,” katanya dalam perkongsian di laman sosial.

Musa juga menyifatkan Zizi sebagai individu yang mengutamakan orang lain, sekali gus menjadi penguat semangat dan penenang saat ada yang hampir berputus asa.

Selain Zizi, delagasi yang berlepas dari tanah air pada 31 Ogos lalu turut disertai penyanyi Ardell Aryana dan Heliza Helmi serta pempengaruh, Farah Lee. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI