PETALING JAYA – Impian menjadi nyata buat penyanyi Misha Omar apabila wajahnya terpampang megah di papan iklan digital gergasi Spotify di Times Square, New York, Amerika Syarikat (AS).
Terharu dengan pencapaian tersebut, Misha atau nama sebenarnya Samihah@Aisah Omar, 43, berkata kejayaan itu bukan hanya miliknya tetapi seluruh peminat yang sentiasa mendukung perjalanan kariernya.
“Melihat wajah saya terpampang di billboard Times Square, New York adalah saat yang tidak mungkin dapat saya lupakan seumur hidup.
“Jauh di sudut hati, ini bukan hanya kejayaan Kak Mitch, tetapi kejayaan kita bersama. Terima kasih yang tidak terhingga kepada Spotify kerana mengangkat suara wanita melalui kempen #SpotifyEQUAL ini,” katanya dalam Instagram.
Paling penting kata pelantun lagu Break itu, penghargaan berprestij tersebut menajdi pengiktirafan dan simbol kekuatan kaum wanita dalam seni suara.
“Sebagai wanita, setiap suara membawa seribu kisah tentang kasih sayang, kekuatan dan kecekalan.
“Setiap kali kaki ini menginjak pentas, setiap bait lagu yang dinyanyikan, sebenarnya kita sedang membina jambatan untuk generasi wanita seterusnya bersinar lebih terang,” jelasnya.
Lebih dua dekad berkelana sebagai anak seni, pemenang Anugerah Juara Lagu ke-18 (AJL18) itu percaya bahawa muzik bukan hanya kerjaya tetapi medium penyampaian yang mampu menyentuh jiwa pendengar.
“Selama 23 tahun ini, muzik adalah cara saya menyampaikan cinta dan kekuatan kepada kalian.
“Momen bersejarah seperti ini menguatkan lagi kepercayaan saya bahawa muzik bukan sekadar kerjaya, tetapi legasi jiwa yang akan terus bersemi menyentuh jiwa seluruh pendengar.
“Terima kasih buat keluarga Sony Music Malaysia serta semua insan tersayang yang tidak pernah berhenti memberi kasih sayang, sokongan dan kepercayaan,” luahnya.
Kempen Spotify EQUAL merupakan inisiatif global bagi mengiktiraf dan memperkasa suara artis wanita dalam industri muzik.
Selain Misha, beberapa nama besar tanah air pernah menghiasi papan iklan digital ikonik itu termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ernie Zakri, Yuna, Dolla, Aina Abdul, Marsha Milan, Kaka Azraff, Layla Sania, Iman Troye, Aisha Retno dan Vanessa Reynauld. – KOSMO! ONLINE